
KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani yang didominasi Pakatan Harapan (PH) bukan sahaja gagal menguruskan ekonomi negara apabila tersungkur ke tangga 34 ranking Daya Saing Global (WCR) 2024 oleh Institut Antarabangsa Pembangunan Pengurusan (IMD), namun turut gagal dalam menjaga kestabilan politik dan tidak memperkasakan akta lompat parti.
Ketua Pemuda Perikatan Nasional, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, dahulunya Malaysia gah digelar Harimau Asia, namun kini dipandang sinis oleh negara jiran, Thailand dan Indonesia.
“Manakan tidak, dalam asas pelaksanaan dasar kerajaan tidak pernah Perdana Menteri ke-10 (PMX), Dato’ Seri Anwar Ibrahim turuti.
“Dasar yang flip-flop dan tiada konsistensi jelas menggambarkan kerajaan madani tiada pendirian yang kukuh.
“Selain itu, setiap dasar kerajaan madani akan berbangkit perihal ketelusan dalam pelaksanaannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Berpuluh tahun era kerajaan terdahulu menurut beliau, Malaysia menjadi tumpuan pelabur kerana kestabilan politik berbanding negara serantau.
Sekarang ini jelas beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Malaysia mendapat manfaat daripada pemain industri cip global berikutan perang dagangan antara Amerika Syarikat dan China.
“Sampai bila Malaysia mesti bergantung kepada ketidakstabilan negara luar untuk memangkin perkembangan ekonomi negara?” soalnya.
Lebih sadis kata beliau, apabila kerajaan madani mengambil pula langkah mundur dalam menjaga kestabilan politik sehingga mengambil tindakan menyekat peruntukan Ahli Parlimen dan tidak memperkasakan akta lompat parti memberi impak buruk kepada negara.
“Sedangkan akta lompat parti yang digubal ketika pentadbiran Perikatan Nasional (PN) merupakan alat untuk memastikan kestabilan politik yang mana akta tersebut menghalang budaya lompat parti yang menjejaskan kestabilan politik negara.
“Jika Kerajaan Madani tiada henti bermain politik sempit dan lapuk, pelabur luar bukan sahaja tidak menjadikan Malaysia destinasi pilihan, malah pelabur sedia ada bakal meninggalkan Malaysia.
“Sehubungan itu, pengundi Sungai Bakap mesti memilih Perikatan Nasional (PN) dalam PRK nanti kerana memberi undi kepada PH seakan memberi cincin kepada monyet,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/6/2024




















