
HYDERABAD: Sebuah pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH199 dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur terpaksa berpatah balik ke India dan melakukan pendaratan kecemasan selepas mengalami masalah teknikal pada enjin.
Pesawat yang membawa 138 penumpang itu berlepas pada jam 12.45 pagi waktu tempatan, namun terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Rajiv Gandhi tidak lama selepas berlepas disebabkan masalah teknikal yang dialami.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan pihak lapangan terbang, pesawat berkenaan mengalami masalah pada enjin, menyebabkan berlakunya percikan api pada salah enjin sebelah kanan pesawat itu, lapor India Today.
Krew penerbangan kemudiannya bertindak pantas, memulakan protokol kecemasan untuk kembali ke Hyderabad dan mengutamakan keselamatan penumpang. Pesawat mendarat dengan selamat, dengan perkhidmatan kecemasan bersiap sedia untuk membantu penumpang dan anak kapal.
Tiada kecederaan dilaporkan setakat ini dan kesemua penumpang kini terkandas di Lapangan Terbang Hyderabad, sementara pihak berkuasa menangani masalah teknikal dan mengatur pilihan perjalanan alternatif bagi kesemua yang terlibat. – HARAKAHDAILY 20/6/2024




















