Diesel naik 56%, harga telur turun cuma 3 sen

Pengumuman mengenai inisiatif harga telur turun hanya sebanyak 3 sen sebiji oleh PMX mengecewakan rakyat yang sedang tenat bergelut dalam kitaran ganas ekonomi sedia ada.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Pengumuman mengenai inisiatif harga telur turun sebanyak tiga sen sebiji oleh Perdana Menteri ke-10 (PMX), Dato’ Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini melucukan, pada saat-saat penting bagi umat Islam ternyata mengecewakan rakyat khususnya di Selangor yang sedang tenat bergelut dalam kitaran ganas ekonomi sedia ada.”

Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor, Zurk Ahmad berkata, jelas kerajaan yang ada pada hari ini adalah kerajaan yang gagal iaitu gagal memahami derita rakyat, gagal berkomunikasi dengan rakyat dan gagal melaksanakan dasar dan polisi yang baik untuk rakyat.

- Advertisement -

“Justeru, PAS Negeri Selangor menggesa agar Kerajaan Persekutuan pada hari ini melihat semula teori, prinsip, formula dan kaedah mereka mentadbir negara ini. 

“Derita rakyat khususnya miskin bandar yang berada di Selangor ini mesti diambil perhatian. Kesan berganda daripada kenaikan harga diesel kepada peningkatan kos sara hidup buat miskin bandar boleh membawa kepada masalah yang lebih besar.

“(Antara masalahnya ialah) seperti ketidakcekapan pekerja dalam industri, masalah gejala sosial, penceraian rumah tangga dan kesihatan mental.

“Turunlah bersama rakyat di bawah. Dengar dan rasailah derita mereka. Nilailah semula hasrat Kerajaan Madani yang menzalimi rakyat dari hari ke hari kepada dasar yang lebih pro-rakyat, progresif dan bersifat empati kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Zurk Ahmad

Aidiladha, riuh harga diesel

Dalam pada itu, beliau berkata, sambutan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini ternyata meriah, dengan lawak jenaka dan perbincangan orang Selangor mengenai kenaikan harga diesel sebanyak RM1.20 atau 56 peratus berbanding sebelumnya.

Katanya lagi, raya yang sepatutnya meriah dengan ibadah korban kini bertukar menjadi cerita rakyat yang rungsing dan gelisah dengan kesan berganda daripada kenaikan harga diesel ini.

“Belum reda dengan kegelisahan rakyat Selangor akibat kenaikan sehingga 25 peratus cukai taksiran oleh PBT di bawah Kerajaan Madani di Selangor kini Kerajaan Madani di Persekutuan pula memperkenalkan dan laksanakan dasar yang menekan rakyat ini. 

“Rakyat miskin bandar dan M40 di Selangor ibarat jatuh ditimpa tangga. Respons rakyat di Selangor yang kebanyakannya daripada kumpulan M40 ini ternyata adalah kesan daripada pelaksanaan dasar dan polisi Kerajaan Persekutuan yang tidak terperinci, culas, ambil mudah dan tidak seiring dengan denyut nadi rakyat di segenap peringkat.

“Janji bulan dan bintang pimpinan Madani sebelum PRU-15 kini trending, menjadi ulang-ulangan buat rakyat Selangor sama ada yang muda ataupun tua, kaya atau miskin, dan di rumah mahupun di masjid. 

“Inilah yang menjadi topik hangat buat rakyat. Mereka bakal ‘terkorban’,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/6/2024

- Advertisement -