
PYONGYANG: Presiden Rusia, Vladimir Putin tiba di Korea Utara bagi lawatan ke negara berkenaan selepas kali terakhir berkunjung ke negara itu 24 tahun lalu, bagi memperkukuhkan lagi hubungan dua hala negara berkenaan.
Pesawat yang membawa Putin tiba pada jam 2.45 pagi lewat Selasa (18 Jun), waktu tempatan, yang menyaksikan beliau di sambut pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un; sebelum kedua-duanya berjabat tangan, memeluk dan berbual antara satu sama lain di sebelah pesawat tersebut, sebelum sama-sama menaiki limosin dan berjalan menuju ke tempat penginapan Putin.
Dalam lawatan tersebut, Putin berikrar untuk memperhebatkan lagi hubungan perdagangan dan keselamatan dengan negara bersenjata nuklear itu dan bagi menyokong tindakan negara Asia Timur itu terhadap Amerika Syarikat, lapor Reuters.
Antara delegasi yang turut hadir ke lawatan itu adalah Menteri Pertahanan yang baru dilantik, Andrei Belousov; Menteri Luar, Sergei Lavrov dan Timbalan Perdana Menteri, Alexander Novak.
Beliau turut berikrar untuk menyokong usaha Pyongyang bagi mempertahankan kepentingannya, walaupun apa yang disebut Korea Utara sebagai ‘tekanan AS, pemerasan dan ancaman ketenteraan’ dalam berita yang dicetak di halaman depan Rodong Sinmun yang merupakan media utama parti pemerintah Korea Utara.
“Washington, enggan melaksanakan perjanjian yang telah dicapai sebelum ini, terus mengemukakan tuntutan baharu yang semakin ketat dan jelas sekali tidak boleh diterima.
“Rusia sentiasa menyokong dan akan terus menyokong Korea Utara dan rakyatnya yang berani dalam penentangan mereka terhadap musuh yang berbahaya dan agresif,” tegas Putin dalam laporan Rodong Sinmun itu.
Putin dijadualkan akan menginap di rumah tetamu Kumsusan, di sini, lokasi di mana Presiden China, Xi Jinping pernah tinggal ketika lawatannya ke Korea Utara pada 2019. -Agensi/– HARAKAHDAILY 19/6/2024




















