Korea Utara kerah 10,000 tentera ke Rusia

Kerahan ribuan tentera Korea Utara ke Rusia menimbulkan kebimbangan NATO dalam konflik perang Rusia-Ukraine. (FOTO: The Guardian)
- Advertisement -

ARLINGTON: Ibu pejabat Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (Pentagon) memaklumkan bahawa Korea Utara telah mengerahkan kira-kira 10,000 tenteranya untuk berlatih di Rusia, meningkat daripada anggaran sebanyak 3,000 pada minggu lalu.

Jurucakap Pentagon, Sabrina Singh berkata, anggota tentera berkenaan dilaporkan telah mara lebih dekat ke Ukraine, dan dipercayai bergerak ke arah wilayah sempadan Kursk di Rusia, di mana tentera negara itu bergelut untuk menangkis serangan Ukraine.

- Advertisement -

“Sebahagian daripada askar itu telah bergerak lebih dekat ke Ukraine, dan kami semakin bimbang bahawa Rusia berhasrat untuk menggunakan askar ini dalam pertempuran atau untuk menyokong operasi pertempuran menentang tentera Ukraine,” katanya, lapor Al-Arabiya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Mark Rutte berkata, pengerahan itu merupakan ‘peningkatan ketara’ terhadap peranan Korea Utara dalam konflik Rusia-Ukraine, dan menyebutnya sebagai ‘perkembangan berbahaya perang Rusia’.

“Kerjasama ketenteraan yang semakin mendalam antara Rusia dan Korea Utara adalah ancaman kepada keselamatan Indo-Pasifik dan Euro-Atlantik,” katanya kepada pemberita selepas perbincangan dengan delegasi Korea Selatan mengenai pengerahan tersebut.

Seorang pegawai Kementerian Luar Korea Utara dalam pada itu tidak mengesahkan laporan media mengenai penempatan tentera ke Rusia, tetapi berkata jika negaranya telah mengambil tindakan sedemikian, beliau percaya ia adalah selaras dengan norma antarabangsa. 

Ukraine, yang sedang berdepan tekanan kuat Rusia di wilayah timur Donetsk, mungkin menghadapi cabaran tambahan berikutan pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) pada 5 November depan. 

Sekiranya kemenangan berpihak kepada Donald Trump, ia dilihat akan membawa kepada pengurangan sokongan tentera AS yang kritikal, sesuatu yang boleh menjejaskan keupayaan pertahanan Ukraine dengan ketara. -Agensi/– HARAKAHDAILY 30/10/2024

- Advertisement -