
PYONGYANG: Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un berkata, negara itu kini sedang melaksanakan dasar pembinaan tenaga nuklear untuk meningkatkan bilangan senjata nuklearnya secara ‘mendadak’.
Dalam ucapannya di ulang tahun penubuhan Korea Utara pada Isnin, beliau menegaskan bahawa negaranya mesti menyediakan dengan lebih teliti keupayaan nuklear dan kesediaannya untuk menggunakannya dengan betul pada bila-bila masa dalam memastikan hak keselamatan negara itu, lapor AFP.
“Kehadiran tentera yang kuat diperlukan untuk menghadapi pelbagai ancaman yang ditimbulkan oleh Amerika Syarikat (AS) dan pengikutnya.
Beliau dalam pada itu berkata Korea Utara sedang berdepan dengan ancaman teruk, daripada apa yang dikatakan sebagai blok tentera berasaskan nuklear yang diketuai AS di rantau itu.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pertahanan Korea Selatan bagi Hal Ehwal Dasar, Cho Chang-rae dan rakan sejawatannya dari AS dan Jepun pada Selasa mengutuk kepelbagaian sistem penghantaran nuklear, ujian dan pelancaran pelbagai peluru berpandu balistik Korea Utara baru-baru ini.
Dalam pertemuan yang diadakan di Seoul, ketiga-tiga mereka mengesahkan komitmen untuk mengukuhkan kerjasama tiga hala bagi memastikan keamanan di rantau itu, termasuk dengan menghalang ancaman nuklear dan peluru berpandu Korea Utara.
Mereka juga bersetuju untuk mengadakan latihan ketenteraan tiga hala buat kali kedua yang dikenali sebagai ‘Freedom Edge’ dalam tempoh terdekat.
Korea selatan juga akan mengadakan mesyuarat menteri pertahanan dengan negara anggota Perintah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNC) pada Selasa, yang diketuai oleh komander tentera AS yang ditempatkan di Korea Selatan.
Bulan lalu, Jerman menjadi yang terbaru menyertai UNC di Korea Selatan yang membantu mengawal sempadan antara Korea Utara yang dikawal ketat dan komited untuk mempertahankan negara itu sekiranya berlaku perang.
Korea Utara bagaimanapun mengkritik UNC sebagai ‘organisasi perang haram’ dan kemasukan Jerman ke dalam pasukan pemantau sempadan PBB yang diketuai AS itu sebagai meningkatkan ketegangan. -Agensi/– HARAKAHDAILY 10/9/2024




















