
MENTERI Kabinet Perang Israel, Benny Gantz meletakkan jawatan selepas sebelum ini mengancam akan keluar dari pentadbiran kecuali jika Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menentukan pelan pasca-perang untuk semenanjung Gaza.
Menurutnya, Netanyahu menghalang pasukan tentera Israel untuk mencapai kemenangan mengalahkan Hamas. Itu menjadi punca beliau meninggalkan pemerintahan di Israel walaupun dalam situasi darurat ketika ini.
Tindakan itu, bagaimanapun, tidak akan menjatuhkan pakatan pemerintah Israel, kerana Netanyahu masih akan memegang majoriti selesa 64 kerusi dalam Knesset yang mempunyai 120 kerusi. Namun, ini mendedahkan perpecahan politik yang sengit berlaku dalam pentadbiran Netanyahu berkenaan cara beliau menguruskan konflik dalaman dan peperangan di Gaza.
Mengikut ramalan sesetengah pihak, Gantz adalah pencabar terdekat untuk mengambil alih kuasa di Israel. Pengaruh Gantz dalam pentadbiran Israel dilihat sangat meluas sebagai pengimbang dengan pengaruh ahli sayap kanan dalam pakatan Netanyahu.
Selain meninggalkan pentadbiran Netanyahu, beliau turut mencabar perdana menteri itu untuk menetapkan tarikh pilihanraya. Hal ini seiring dengan tuntutan penduduk Israel yang melaungkan slogan anti-perang yang juga menyeru agar Netanyahu berundur sekali gus mengadakan pilihan raya lebih awal.
Tindakan Gantz itu mendapat sokongan Ketua Pembangkang Israel, Yair Lapid. Manakala Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben-Gvir pula menuntut kedudukan dalam Kabinet Perang bagi mengisi kekosongan tersebut.
Terdahulu, Ben-Gvir merupakan sebahagian daripada gabungan sayap kanan yang mengancam untuk berhenti dan menjatuhkan pentadbiran Netanyahu sekiranya Israel menerima cadangan gencatan senjata yang dikemukakan oleh Presiden AS, Joe Biden.
Dalam perkembangan lain, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memasukkan Israel dalam senarai hitam negara yang melakukan penindasan terhadap kanak-kanak dalam konflik bersenjata. Keputusan itu telah diumumkan oleh Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres.
Ini berikutan kegagalan Angkatan Pertahanan Israel (IDF) melindungi keselamatan dan hak asasi kanak-kanak semasa operasi ketenteraan yang dilancarkan oleh rejim itu.
Duta Palestin ke PBB, Riyad Mansour berkata memasukkan Israel ke dalam senarai hitam itu tidak akan memulihkan kehidupan kanak-kanak yang terbunuh atau hilang upaya akibat serangan tentera Israel. – HARAKAHDAILY 15/6/2024




















