‘Dulu konon pertahankan subsidi, sekarang sebaliknya pula…’

Anwar Ibrahim dan Rafizi Ramli
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dahulunya dipercayai bertekad akan mempertahankan subsidi, namun sebaliknya pula telah berlaku sekarang ini dengan keputusan penyelarasan subsidi diesel yang bermula pada 10 Jun lepas.

Profesional Istiqamah dalam kenyataannya berkata, klip-klip ucapan lama dan yang tidaklah begitu lama oleh mereka berdua kembali memenuhi paparan media sosial rakyat

- Advertisement -

“Demi mengejar defisit perbelanjaan subsidi sebanyak RM11.5 bilion setahun, kerajaan Madani cuba berjimat di segenap ruang yang ‘mudah’ bagi mereka. 

“Mungkin mereka lupa atau terkena Alzheimer. Subsidi yang diberikan bukanlah kerana suka-suka melainkan atas keperluan rakyat. 

“Hanya kerana mengejar penjimatan sekitar RM4 bilion, poket rakyat yang menanggung bebannya menerusi inflasi berganda pada masa-masa akan datang,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini ujarnya, rakyat telah dikejutkan dengan peningkatan tarif elektrik, tarif air, perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan kenaikan kadar SST. 

Kemudian menurutnya, rakyat dirembat lagi dengan kenaikan diesel yang menjadi bahan bakar asas dalam sektor logistik.

“Golongan pengusaha kecil dan mikro atau Micro (SME) menggunakan trak 4×4 atas nama persendirian dan  petani dan pekebun kecil yang tidak mencapai taraf pendapatan RM50,000 – RM300,000 setahun adalah antara dua kumpulan tersisih.

“(Mereka merupakan pengusaha) yang tidak layak menerima bantuan subsidi namun keberadaan mereka dalam rantai ekonomi akan menyebabkan kenaikan harga barang.

“Kini rakyat mula menerima berita para pengusaha dalam sektor berkaitan terpaksa menaikkan harga barang dan perkhidmatan lantaran keputusan kerajaan,” jelasnya.

Tambah kenyataan itu, Menteri tidak boleh sekadar memarahi golongan pengusaha dengan kalimah ‘jangan menaikkan harga barang’ dan sepatutnya menteri menggunakan kuasa yang ada untuk mengawal kenaikan harga barang. 

“Lagipun itulah realiti ekonomi, setiap peningkatan kos akan menatijahkan peningkatan harga akhir. Tiada orang berniaga hendak rugi,” tegasnya.

Menurut  kenyataan itu lagi, kerajaan perlu terus memantau agar tiada kumpulan yang tersisih dengan bantuan subsidi ini. Kumpulan yang harus menerima wajar diberi bantuan.

“Tiba masanya bantuan tunai kepada kumpulan yang memerlukan ditingkatkan. Kadar bantuan dengan kadar rata RM200 dikhuatiri tidak mencukupi.

“Kita yakin kerajaan mempunyai data rakyat yang wajib dibantu ini, bukankah itu fungsi Pangakalan Data Utama (PADU) diperkenalkan? ‘Tahniah’ kerajaan Madani kerana sudah ‘berjaya menghalang’ ketirisan kepada warga asing. 

“Sekarang dengan wang yang dijimatkan itu, silalah bantu rakyat Malaysia! Poket rakyat menanti masa untuk terburai. Moga tidak terkena penyakit Alzheimer,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/6/2024

- Advertisement -