
TUMPAT: Amarah rakyat terhadap langkah drastik kerajaan Madani menaikkan harga diesel dijangka diterjemah di kertas undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap 6 Julai ini.
Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, rata-rata rakyat terutamanya pemilik kenderaan berat terkesan teruk dengan kenaikan diesel secara mendadak.
Katanya, peluang rakyat bagi menyatakan kemarahan mereka dapat ditengok pada PRK Sungai Bakap tidak lama lagi.
“PAS Kelantan yakin potensi calon PERIKATAN NASIONAL (PN) pada PRK Sungai Bakap gara-gara kerajaan Madani menarik balik subsidi diesel bermula 10 Jun lalu,” katanya selepas merasmikan perasmian Bengkel TikTok DUN Pengkalan Kubor di sini petang semalam.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai manakala penamaan calon 22 Jun.
DUN Sungai Bakap kosong susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.
Pada Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang tahun lalu Nor Zamri menewaskan calon Pakatan Harapan, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.
Wan Roslan yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, kenaikan harga diesel sehingga RM1.20 seliter mendapat kecaman rakyat terutamanya di media sosial.
“Paling teruk terjejas pengusaha bas pelancongan kerana difahamkan mereka tidak disenarai menerima subsidi diesel.
“Tindakan kerajaan itu boleh menjejaskan industri pelancongan negara yang sedang berkembang pesat sekarang,” ujarnya.
Semalam, Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (Mita) mendakwa mereka berdepan risiko kerugian disebabkan peningkatan kos operasi kerana tidak lagi menerima subsidi diesel.
Wan Roslan juga berkata, PAS Kelantan turut membantu kempen calon PN bagi mempertahankan DUN terbabit pada PRK 6 Julai ni.
Menurutnya, PAS Kelantan menghantar petugas pilihan raya yang mewakili PAS kawasan untuk membantu kempen calon PN. – HARAKAHDAILY 13/6/2024











