
KUALA LUMPUR: “Cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming melarang perjalanan bagi pemaju projek perumahan terbengkalai baru-baru ini adalah sia-sia kerana ia tidak akan membantu mangsa secara langsung.”
Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH), Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, larangan itu tidak akan menakutkan pemaju dan akan gagal memastikan pembeli rumah menerima rumah idaman mereka.
“Denda RM250,000 hingga RM500,000 dan penjara tiga tahun di bawah Seksyen 18A Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 sepatutnya sudah memadai untuk menakutkan pemaju.
“Namun, tidak ramai pemaju yang telah dikenakan denda yang tinggi atau dipenjara kerana kesalahan tersebut,” jelas beliau yang juga mantan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Negeri Selangor, dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu katanya, adalah amat membantu pembeli rumah sekiranya aset peribadi pemaju atau keluarga terdekat mereka dirampas dan digunakan untuk membiayai menyiapkan projek-projek terbengkalai dan undang-undang mesti dipinda untuk membenarkan ini.
“Kita juga sudah tentu tidak mahu melihat pemaju dengan projek perumahan terbengkalai masih terlibat dengan projek-projek pembangunan di tempat lain, menggunakan syarikat berbeza yang kita tahu ada kaitan dengan mereka.
“Tidak adil untuk mangsa projek perumahan terbengkalai jika pemaju gagal menyiapkan rumah mereka tetapi boleh meneruskan projek-projek lain tanpa halangan.
“Kementerian mesti menjalankan siasatan yang teliti agar dapat mengaitkan pemaju yang tidak bertanggungjawab itu dengan projek-projek yang sedang berjalan dan menghukum mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/6/2024




















