
GOMBAK: Pemuda PAS Selangor hari ini membuat laporan polis berhubung sebuah video tular yang memaparkan seorang pemandu e-hailing yang didakwa telah menghina negara dan agama Islam kepada pelancong asing.
Pengarah Jabatan Penerangan Pemuda PAS Selangor, Suffi Kamari berkata, pemandu tersebut telah melakukan satu provokasi dengan mengeluarkan kata-kata palsu dan fitnah mengenai agama Islam di Malaysia.
“Dia (pemandu e-hailing terbabit) telah menyinggung perasaan kita semua umat Islam yang duduk dengan penuh keharmonian. Lelaki berkenaan telah membuat tuduhan palsu dan menyebarkan sangkaan jahat bahawa orang Islam seolah-olah memaksa menerima cara dan ajaran Islam dengan mengharamkan arak dan judi,” katanya ketika ditemui Harakahdaily di luar Balai Polis Gombak, Batu 6, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Gombak memaklumkan bahawa, tujuan laporan polis berkenaan dibuat adalah supaya pemandu tersebut disiasat dibawah Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan mana-mana undang-undang yang berkaitan.

“Kami menyatakan kekesalan kami dalam beberapa siri berita yang telah dikongsikan, yang menunjukkan sikap tidak sensitif dengan isu-isu yang berkaitan dengan membuat tuduhan yang tidak betul.
“Tidak ada orang ataupun mana-mana institusi di Malaysia yang memaksa orang bukan Islam untuk ikut ajaran Islam. Itu adalah tuduhan yang sangat-sangat berat,” tegasnya.
Sementara itu, Pengerusi NGO Khidmat Gombak, Iqman Iberahim yang turut mengiringi Suffi menggesa agar NGO lain di luar sana untuk turut keluar membuat laporan polis kerana apa yang berlaku ini merupakan satu isu yang sangat besar.
“Perkara ini boleh menjadi ‘lesson learned’ supaya pemandu-pemandu e-hailing yang lain lebih berhati-hati dalam berkata-kata ataupun menyampaikan sesuatu yang kita rasa tidak sensitif kerana banyak lagi perkara yang kita boleh ceritakan kepada pelancong.
“Oleh itu, saya rasa sangat perlu untuk siasatan ini dilakukan dengan lebih lanjut. Kalau perlu, tindakan keras harus diambil untuk dijadikan pengajaran kepada pemandu e-hailing yang lain,” katanya. –HARAKAHDAILY 5/6/2024




















