
SHAH ALAM: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama sibuk dengan kenderaan apabila perantau dilihat mula bergerak pulang ke ibu negara selepas tamat cuti penggal pertama sekolah.
Tinjauan Harakahdaily mendapati, kenderaan semakin bertambah di Lebuh Raya Shah Alam (KESAS) sehingga menyebabkan aliran trafik perlahan di Persiaran Kewajipan
Sehubungan itu Lembaga Lebuhraya (LLM) berkata, trafik perlahan di Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) arah utara dari Seafield ke Shah Alam.
“Tiada lorong terhalang. Trafik perlahan di lokasi. Berhati-hati memandu. Segala kesulitan yang dihadapi amatlah dikesali,” katanya menerusi laporan di Facebook.
Rata-rata kenderaan menuju ke Kuala Lumpur selepas pulang ke kampung halaman untuk bercuti dan menghadiri kenduri perkahwinan sempena cuti sekolah.
Cuti penggal pertama sesi 2024/2025 bagi sekolah-sekolah kumpulan A bermula 24 Mei lalu dan berakhir 2 Jun, manakala bagi kumpulan B bermula 25 Mei serta berakhir 2 Jun juga.
Dalam masa sama, semalam merupakan cuti umum sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim.
Oleh demikian, orang ramai mengambil peluang untuk pulang ke ibu negara hari ini berbanding Ahad lalu bagi melepasi aliran trafik yang tinggi. – HARAKAHDAILY 4/6/2024




















