
KUALA LUMPUR: Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi, turut berduka cita atas pemergian Pengarah Urusan Sabasun HyperRuncit Sdn. Bhd., Che Salmi Che Ibrahim.
Beliau berkata, Allahyarham merupakan penyumbang terbesar kepada usahawan kecil di Terengganu dan juga seorang dermawan yang sentiasa menghulurkan bantuan di Palestin.
“Allahyarham juga berjaya mendidik masyarakat untuk memboikot barangan Israel hanya melalui perniagaan beliau.
“Pemergian Allahyarham bakal memberikan kesan yang dalam kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya masyarakat Terengganu yang telah menjadikan Sabasun sebagai tempat utama untuk membeli barangan keperluan seharian.
“Semoga Allahyarham diampunkan dosanya, diredhai pemergiannya dan rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi PASTI Travel & Tours, Muhtar Suhaili As-Sarawaki turut berduka cita atas pemergian Allahyarham Che Salmi atau lebih dikenali sebagai Abang Long yang sangat tenang dan santun dalam berbicara khususnya ketika dalam misi dakwah di pedalaman Sabah dan Sarawak.
Menurut Muhtar, Allahyarham juga sangat bersemangat dalam perjuangan Palestin.
“Banyak sumbangan beliau buat saudara kita di Palestin, malah bendera Palestin berkibaran dan tabung Palestin disediakan di pasar raya Allahyarham. Juga semua barangan yang menyokong Israel tiada dijual di Sabasun HyperRuncit sebagai tanda boikot.
“Semoga Allah mencucuri rahmat dan mengurniakan maghfirat ke atasnya. Takziah kepada seluruh anggota keluarganya dan sahabat serta kenalan. Saya menyaksikan beliau orang yang baik!
“Semoga Allah redhai beliau. Semoga Allah ampuni dosanya dan terima segala amalannya dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Semoga kita semua beroleh husnul khatimah. Allahumma Amin,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Sabasun secara rasmi menghentikan jualan jenama yang terlibat dengan Israel.
Sabasun telah memulakan kempen boikot barangan Israel sejak 2002 secara berperingkat bermula dengan menghentikan penjualan minuman Coca-Cola dan Pepsi sebelum memboikot barangan lain yang memberikan keuntungan kepada Zionis Israel.
Namun, pada tahun ini secara rasmi semua produk keluaran Nestle sepenuhnya. Kini tiada lagi jenama seperti Milo, Nescafe, Maggi, dan banyak lagi barangan.
Difahamkan, Allahyarham menghidap penyakit kanser dan menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 4.45 pagi di Hospital KPJ Ampang Puteri, di sini.
Sementara itu, solat jenazah akan diadakan selepas solat Asar di Masjid Khalifah Jalan Pusara, Terengganu dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kecil, Terengganu. – HARAKAHDAILY 4/6/2024




















