Serangan di Gaza adalah “Sekuel Nakba 1948”

Nakba pada 1948 dan 2024.
- Advertisement -

APA yang berlaku di Gaza pada hari ini bukanlah berasingan dengan peristiwa Nakba atau Malapetaka pada tahun 1948. Bulan Mei tahun ini, kita sekali lagi memperingati sejarah hitam 76 tahun lalu bermula dengan pengusiran kira-kira 750,000 penduduk Palestin dari tanah nenek moyang mereka sehingga sebuah negara haram diisytiharkan atas tanah yang dirampas itu.

Antara tahun 1948 dan 2024, Israel meneruskan tindakan haramnya kerana Nakba adalah proses pengusiran dan penghapusan yang berterusan. Bahkan sebahagian besar penduduk Gaza pada hari ini merupakan generasi pelarian yang berasal dari Dir Yasin, Haifa, Yaffa, Akka, Safad dan lain-lain yang dirampas.

- Advertisement -

Wakil Pemerhati Tetap Palestin di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Riyad Mansour ketika berucap pada pembukaan Perhimpunan Agung badan dunia itu baru-baru ini mengatakan, “Pada hari ini, penduduk Gaza dikepung, dibom dan dibiarkan kebuluran dengan tujuan untuk memusnahkan atau menghapuskan mereka.”

Menurutnya, “Penjajah Israel tidak lagi menyembunyikan niat sebenar melakukan “Nakba Kedua”, ketika mereka memberi rakyat Palestin dengan tiga pilihan iaitu berpindah, ditakluk, atau mati. Dalam kata lain pengusiran, apartheid atau pembunuhan beramai-ramai.”

Ibarat lakon layar filem yang ditulis sebagai sambungan kepada filem pertama yang dianggap berjaya mengaut keuntungan. Perang Gaza ini dianggap sebagai “sekuel” bagi meneruskan legasi penjajahan lebih tujuh dekad yang lalu.

Nakba 1948 menyaksikan satu peristiwa di mana sebuah negara telah dirampas dalam sekelip mata. Penduduknya dihalau dari tanah leluhurnya, seterusnya mereka dilayan seperti orang asing di tanah air mereka sendiri. Pendatang Yahudi mula melakukan imigrasi ke Palestin pada tahun 1881 dan pasca Perang Dunia Kedua. Pendatang yang diterima sebagai tetamu telah bertukar menjadi serigala yang dahagakan darah.

Natijah daripada serangan dan pencerobohan Yahudi pada 1948 dan perluasannya telah menjadikan penduduk Palestin kehilangan 55 peratus dari keseluruhan bumi mereka. Walaupun sebahagian besar daripadanya adalah padang pasir dan gurun yang tiada berpenghuni.

Pada kali ini, mereka menyerang Gaza dari utara hingga ke selatan. Jika benar serangan ke atas Gaza pada kali ini bertujuan untuk Israel menakluk dan merampasnya, ke mana penduduk Gaza yang berjumlah lebih dua juta hendak pergi?

Seolah-olah negara-negara Arab yang berjiran sedang “dipertimbangkan” untuk menerima kemasukan pelarian dari Gaza atau mereka sanggup melihat satu demi satu nyawa terkorban setiap kiraan jam dan minit. – HARAKAHDAILY 25/5/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -