
MENGAMBIL senario perang di Gaza yang masih berlarutan, Palestin melancarkan semula permintaan sejak 2011 untuk menjadi anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berbanding status sebagai negara pemerhati sebelum ini.
Pada 18 April lalu, Amerika Syarikat (AS) sebagai salah satu daripada lima ahli yang memegang kuasa veto di Majlis Keselamatan menggunakan kelebihannya bagi menggagalkan usaha Palestin untuk menjadi anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sebagai alternatif, usaha yang sama beralih ke Perhimpunan Agung PBB untuk memperolehi undi majoriti dua pertiga. Menurut pemerhati dan diplomat, Palestin berkemungkinan mendapat sokongan majoriti yang kuat. Draf resolusi yang dikemukakan oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengatakan “Negara Palestin layak untuk menjadi ahli dalam PBB mengikut Artikel 4 Piagam PBB.”
Selain memohon Perhimpunan Agung PBB mempertimbangkan semula perkara itu dengan baik, draf resolusi tersebut memberikan rakyat Palestin hak dan keistimewaan tambahan tertentu bermula pada sesi Perhimpunan Agung akan datang iaitu pada September depan.
Berhubung tindakan yang dianggap sukar kerana berhadapan veto AS, Duta Palestin, Riyad Mansour berkata kepada pemberita: “Apabila anda membina bangunan, anda membinanya satu bata pada satu masa. Jika ada yang berpendapat ia simbolik, bagi kami ia penting kerana kami bergerak ke hadapan ke arah hak semula jadi dan undang-undang kami untuk menjadi ahli penuh PBB.”
Perhimpunan Agung PBB pada 10 Mei mengesyorkan satu resolusi yang diterajui oleh UAE lalu mendapat sokongan majoriti dengan 143 negara anggota menyokong, manakala sembilan negara menentang dan 25 negara berkecuali. Sembilan negara yang menentang ialah AS, Israel, Argentina, Czech, Hungary, Micronesia, Nauru, Papua New Guinea dan Palau.
Setiausaha Agung Liga Arab, Ahmed Aboul-Gheit mengalu-alukan resolusi yang diterima pakai oleh Perhimpunan Agung PBB baru-baru ini yang menyokong usaha Palestin untuk menjadi anggota penuh PBB.
Undian majoriti yang memihak kepada resolusi itu jelas menunjukkan ia selari dengan kehendak global dan sentimen pendapat awam di peringkat antarabangsa. Tindakan mengemukakan resolusi pada ketika ini dilihat menepati waktunya di saat perang di Gaza yang semakin memuncak.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Luar Negara dan Ekspatriat Palestin mengalu-alukan sokongan undian yang besar diterima pada Perhimpunan Agung PBB sambil menegaskan bahawa negara Palestin telah memenuhi semua syarat yang ditetapkan oleh Piagam PBB khususnya Perkara 4.
Ia juga menggesa negara-negara yang menentang dan berkecuali agar mempertimbangkan semula pendirian mereka serta menyokong kebenaran, keadilan, solidariti bersama perjuangan rakyat Palestin untuk mendapatkan hak kemerdekaan dan hak pelarian untuk kembali ke tanah air mereka seperti yang ditetapkan oleh Resolusi Perhimpunan Agung PBB 194. – HARAKAHDAILY 19/5/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.




















