
NOUMEA: Pihak berkuasa Perancis telah mengenakan perintah berkurung di ibu negara New Caledonia, di sini, selepas protes bertukar menjadi rusuhan ganas di ibu negara itu dengan lebih 200 kebakaran dicetuskan semalaman.
Tindakan itu dilakukan susulan tindakan penyokong kemerdekaan negara kepulauan Pasifik di bawah wilayah Perancis itu telah bertindak menghalang jalan raya, membakar bangunan dan bertempur dengan pasukan keselamatan.
Sehubungan itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Noumea dilaporkan ditutup akibat rusuhan, dengan penjejak penerbangan menunjukkan tiada pesawat mendarat di lapangan terbang itu sejak 4 petang semalam, lapor Reuters.
Satu-satunya penerbangan dari Australia yang mendarat di Noumea hari ini ialah Penerbangan Qantas 8693, yang masih dijadualkan mendarat di ibu negara pada jam 4.20 petang dari Sydney.
Ketegangan di New Caledonia telah dicetuskan oleh perancangan kerajaan Perancis untuk memberi undi kepada puluhan ribu pendatang Perancis ke kepulauan Melanesia,yang mana pemberian hak tersebut akan mewujudkan halangan yang ketara kepada aspirasi autonomi orang asli Kanak yang tinggal di kepulauan berkenaan.
Orang Asli Kanak membentuk kira-kira 40 perats daripada 270,000 penduduk New Caledonia, namun telah terpinggir di tanah mereka sendiri serta mempunyai pendapatan yang lebih rendah dan kesihatan yang lebih buruk berbanding orang Eropah yang membentuk satu pertiga daripada penduduk dan mendominasi kedudukan kuasa di wilayah itu.
“Gangguan ketenteraman awam yang tegang berlaku malam tadi di Noumea dan di bandar-bandar jiran, dan masih berterusan sehingga kini,” kata Pesuruhjaya Tinggi Perancis ke New Caledonia, Louis Le Franc dalam satu kenyataan pada Selasa, waktu tempatan.
Kenyataan itu juga menyebut bahawa sebanyak 36 individu telah ditahan dan ramai anggota polis yang telah mengalami kecederaan akibat daripada protes yang dijalankan.
Menerusi gambar dan video di media sosial, memaparkan banyak bangunan yang telah dibakar, deretan kereta di pusat pengedar kereta mewah turut hangus sehingga pasukan keselamatan terpaksa menggunakan gas pemedih mata untuk meleraikan protes yang berlaku di bandar berkenaan.
New Caledonia adalah sebuah negara milik Perancis yang terletak di selatan Lautan Pasifik dan dikenali sebagai Kinaki dalam kalangan penduduk tempatan kepulauan itu. Negara ini telah dikuasai oleh Perancis sehingga 1998, yang kemudiannya diberikan kekuasaan untuk memerintah sendiri. -Agensi– HARAKAHDAILY 14/5/2024




















