Program APEL di IPT galak pembelajaran sepanjang hayat

APEL galak rakyat tingkatkan tahap pendidikan.
- Advertisement -

DI Malaysia, konsep Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) muncul sebagai keperluan kritikal bagi individu untuk menyesuaikan diri dan berkembang maju dalam era perubahan yang berterusan.

Institusi pengajian tinggi (IPT) dengan kerjasama Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berada di barisan hadapan dalam usaha menyemarakkan lagi PSH dengan menawarkan pelbagai program pembelajaran yang terdiri daripada program yang diakreditasi dan tanpa akreditasi.

- Advertisement -

Kewujudan program pendidikan seperti Akreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) memainkan peranan penting dalam usaha memupuk budaya PSH di IPT.

Program APEL melibatkan penilaian pembelajaran berdasarkan pengalaman pekerjaan yang diperoleh melalui kaedah formal, bukan formal dan tidak formal untuk dianugerahkan kelayakan akademik.

Kelayakan berkenaan merangkumi peringkat pangajian peringkat diploma, ijazah, sarjana dan kedoktoran tanpa perlu mengikuti keseluruhan program akademik di IPT.

Program pengajian seperti itu bertujuan untuk membuka peluang kepada masyarakat khususnya warga kerja dari pelbagai peringkat usia, terutama di sektor swasta yang ingin menambah pengetahuan dan meningkatkan kemahiran serta kepakaran dalam sesuatu bidang.

Menurut penyelaras program APEL di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Marlissa Omar, program APEL menyokong agenda pembelajaran sepanjang hayat.

Belajar semula

Program terbabit berjaya menarik lebih ramai golongan pekerja untuk kembali melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Ini kerana program berkenaan membantu dalam memberi pengiktirafan rasmi terhadap pengetahuan dan kemahiran yang pelajar miliki di sektor pekerjaan.

Pengiktirafan pembelajaran terdahulu melalui APEL bukan sahaja meningkatkan kemajuan akademik tetapi menyumbang kepada pembangunan budaya pembelajaran sepanjang hayat di Malaysia.

Tambahan lagi, pelajar dapat meningkatkan pemahaman yang lebih mendalam dan memberi penambahbaikan tentang kepakaran mereka dalam sesuatu bidang.

Ia sekali gus dapat mencapai matlamat pembelajaran sepanjang hayat negara.

Melalui mengiktiraf pengalaman terdahulu, APEL membuka peluang kepada individu untuk terus meningkatkan tahap pendidikan mereka dengan cara yang lebih cepat dan fleksibel.

Ini dapat dilihat apabila seseorang yang mempunyai kepakaran kerja dalam sesuatu bidang. Sebagai contoh boleh menerima pengecualian kredit dan hanya perlu melengkapkan sebahagian daripada program untuk memperoleh diploma atau ijazah.

Kebolehcapaian tersebut membuka laluan baharu untuk peningkatan kemahiran serta memotivasikan pekerja untuk meningkatkan kemahiran dan kekal berdaya saing di bawah permintaan ekonomi dan pasaran buruh yang sentiasa berubah.

Tambahan lagi, program itu juga menjadikan sistem pendidikan tinggi di Malaysia lebih fleksibel dan setanding dengan negara-negara maju di dunia yang rata-ratanya telah mengiktiraf pembelajaran terdahulu.

Justeru itu, lebih banyak universiti digalakkan untuk menawarkan program APEL demi memperkukuhkan lagi sokongan PSH di Malaysia.

Melalui program tersebut, masyarakat yang berilmu dapat dilahirkan sekali gus menyumbang ke arah pembangunan modal insan negara melalui pengiktirafan sebagai pekerja berkemahiran.

Tambahan lagi, program PSH turut memberi kesan kepada ekonomi dan pembangunan sosial masyarakat seterusnya menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi.

Kini, terdapat tiga jenis program APEL yang diperkenalkan oleh MQA, iaitu APEL.A untuk akses kemasukan ke institusi pengajian tinggi.

APEL.C bagi pemindahan kredit dan APEL.Q untuk penganugerahan terus berdasarkan pengalaman pemohon.

Sejak 2021, sebanyak sembilan IPT diluluskan oleh MQA untuk melaksanakan program APEL Q, iaitu UKM, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Open University Malaysia (OUM), Asia e University (AeU), HELP University, SEGi University, MAHSA University, UNITAR International University dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

ABDUL LATIFF ABDUL RAHMAN
Ahli Parlimen Kuala Krai – HARAKAHDAILY 12/5/2024

- Advertisement -