Tiga pegawai kanan agensi kerajaan Pusat ditahan reman

- Advertisement -

KOTA BHARU: Tiga pegawai kanan termasuk seorang pengurus besar sebuah agensi kerajaan Persekutuan ditahan reman bermula hari ini sehingga Khamis.

Mereka ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 bagi siasatan lanjut dipercayai ada kaitan kes meminta dan menerima rasuah.

- Advertisement -

Manakala seorang lagi pegawai kanan disambung reman selama tiga hari bermula esok sehingga Khamis di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana disyak membuat tuntutan palsu sejak tahun lalu.

Perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan Hakim Nik Habri Muhamad di Mahkamah Seksyen di sini hari ini.

Terdahulu empat pegawai kanan yang memakai baju lokap SPRM tiba di mahkamah pada jam 9.15 pagi dengan dikawal pegawai SPRM.

Media sebelum ini melaporkan tiga pegawai kanan agensi kerajaan berusia antara 40 hingga 49 tahun ditahan kerana dipercayai terbabit meminta dan menerima rasuah bagi pelbagai projek di Kelantan.

Tiga daripada mereka dipercayai ditahan jam 7.30 malam tadi ketika dipanggil memberi keterangan di pejabat SPRM Kelantan atas kesalahan sama.

Dan salah seorang daripada mereka ditahan pada 30 April lalu untuk siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – HARAKAHDAILY 6/5/2024

- Advertisement -