Guru-guru ikut jalur perjuangan Nabi SAW

Khairul Nadzir Helmi Azhar
- Advertisement -

AYER KEROH: Perjuangan yang dilalui oleh guru-guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) dan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI) adalah seiring jalur perjuangan Nabi SAW.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, perjuangan Nabi Muhammad SAW dan para Rasul adalah perjuangan yang sentiasa mendapat tekanan dari banyak pihak.

- Advertisement -

Beliau menyatakan perkara itu sebagai mengulas tindakan Kerajaan Madani yang akhir-akhir ini banyak melakukan tekanan demi tekanan terhadap institusi pendidikan di bawah Dewan Pemuda PAS.

“Kabinet (Kerajaan) menyiasat aktiviti PASTI, SRITI, SMITI yang (tindakan seperti itu) tidak pernah berlaku semasa zaman Umno. Maka ini adalah bibit-bibit permulaan yang kita ini sedang ditekan.

“Maka tidak adalah pilihan lain, selain kita kena percaya bila ditekan seumpama ini, kita sedang berjuang,” ujarnya semasa berucap merasmikan Himpunan Pendidik Dan Jamuan Hari Raya Aidilfitri Dewan Pemuda PAS Melaka, di sini, semalam.

Jelas Nadzir, baginda Rasulullah SAW juga ditekan oleh ‘Kabinet Musyrikin Makkah’ pada masa itu sehingga mereka membuat keputusan untuk membunuh Nabi Muhammad.

Tambahnya, dalam tekanan kuat itu tiba-tiba Allah SAW menguji Rasulullah SAW dengan mengambil nyawa dua orang penting yang mempunyai kekuatan politik dan ekonomi serta sering mempertahankan baginda daripada kafir Quraisy.

Katanya lagi, walaupun menghadapi tekanan yang kuat sebegitu, namun Rasulullah SAW tidak berhenti berjuang, malah terus mengorak langkah baharu dengan percubaan hijrah ke beberapa lokasi.

“Nak minta cikgu-cikgu PASTI, cikgu-cikgu SRITI, SMITI, seluruh pimpinan PAS Negeri Melaka untuk terus berjuang kerana kita sedang ikut jalur perjuangan Nabi! Kita sedang meniti jalur ini!

“Kalau tak dapat nak duduk dekat sebelah Nabi, insya-Allah, Nabi akan tengok kita berjuang, moga-moga kita ditempatkan di sisi Nabi SAW. Maka carilah keberkatan dalam perjuangan kita,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa guru-guru mempunyai autoriti dan pengaruh yang besar terhadap para pelajarnya sama ada di PASTI, SRITI atau SMITI, maka mereka harus sentiasa menunjukkan sikap dan budaya yang positif agar menjadi ikutan anak-anak didik.

Guru-guru juga diingatkan agar sentiasa berusaha dan berfikir sebarang idea untuk meningkatkan kualiti institusi-institusi pendidikan di bawah PAS tersebut.

“Fikir hari-hari apa aku boleh sumbang? Fikir hari-hari apa aku boleh tambah? Hari-hari fikir apa lagi penambahbaikan yang kita boleh buat.

“Sebab semua ini bukan hanya setakat dinilai di dalam dunia yang penuh dengan pancaroba. Tetapi paling penting semuanya adalah untuk bekalan kita mudah masuk syurga Allah SWT,” ujarnya.

Guru-guru dan pelajar-pelajar PASTI, SRITI dan SMITI dari seluruh Melaka yang menunjukkan pencapaian cemerlang telah diraikan dalam majlis yang berlangsung di dewan sebuah pusat membeli-belah di sini.

Turut hadir ialah Ketua Pemuda PAS Melaka, Ustaz Zulhilmi Suboh dan Ketua Sektor Pendidikan Pemuda PAS Melaka, Ustaz Norfaizal Nordin dan pimpinan majlis guru-guru PASTI, SRITI dan SMITI.

Seramai tiga orang guru telah menerima Anugerah Utama iaitu Siti Fatimah Abu Bashar yang menggondol Anugerah Tokoh Guru SRITI Negeri Melaka; Norzalina Hamid (Anugerah Guru Inovatif PASTI Negeri Melaka) dan Nor Saimah Abdollah (Anugerah Tokoh Guru PASTI Melaka).

Turut diraikan ialah seramai 27 pelajar SRITI seluruh negeri Melaka yang berjaya mendapat 8A dalam Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) yang diumumkan baru-baru ini. – HARAKAHDAILY 2/5/2024

- Advertisement -