
KUALA LUMPUR: Pihak Universiti Malaya (UM) tidak seharusnya membenarkan seorang profesor didakwa pro-Israel, Dr Bruce Gilley sebagai penceramah jemputan di universiti berkenaan.
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Muhammad Hanif Jamaluddin berkata, profesor tersebut telah mempamerkan secara jelas bendera Israel pada ‘header’ di platform X miliknya.
“Adakah pihak UM tidak meniliti terlebih dahulu latar belakang ahli akademik yang ingin dijemput memberikan perkongsian kepada pelajar-pelajar kita?
“Profesor ini diminta untuk membentangkan metadologi berkaitan PHD, tapi kenapa beliau sentuh isu pendirian Malaysia ke atas Israel?” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut kenyataan Bruce Gilley di aplikasi X yang dipercayai menyifatkan Malaysia sebagai pendokong Holocaust juga adalah melampau dan menyeleweng.
“Dalam ucapannya, Gilley sebut bahawa Malaysia adalah negara yang ingin dan bersetuju dengan Holocaust kedua keatas bangsa Israel, dan Malaysia tidak akan maju dengan pendirian ini.
“Kenyataan ini adalah sangat-sangat biadab dan kurang ajar,”katanya.
Justeru, Hanif menggesa agar pihak UM agar mengeluarkan suatu kenyataan untuk tidak lagi menjemput individu yang pro-Israel ke UM atau mana-mana institusi untuk menghadiri sebarang program.
Dalam pada itu, Hanif mengucapkan tahniah ke atas pihak UM kerana telah mengeluarkan kenyataan secara tuntas berhubung isu ini.
Beliau juga turut menggesa pensyarah tersebut agar memohon maaf secara terbuka diatas kenyataan biadab beliau.
Terdahulu media melaporkan, Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) menggesa pentadbiran UM memberi penjelasan berhubung tindakan membenarkan seorang profesor dipercayai pro-Israel, Dr Bruce Gilley, tampil sebagai penceramah jemputan di universiti tersebut.
KMUM dalam kenyataannya berkata, kenyataan penceramah terbabit dalam syarahannya menjadi satu perkara yang mencetuskan fenomena dalam kalangan mahasiswa UM, malah membangkitkan kemarahan ramai pihak, termasuk KMUM. – HARAKAHDAILY 25/4/2024




















