
KUALA LUMPUR: Rakyat mahukan perubahan direalisasikan kerajaan daripada Pilihan Raya Umum (PRU) ke dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), seterusnya ke Pilihan Raya Kecil (PRK).
Bekas Setiausaha Akhbar (SUA) Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, berkata, rakyat tidak nampak perubahan yang berlaku dalam kerajaan pada masa kini, yang sebelum ini menabur janji, ia akan berlaku dengan ‘cepat’.
“Rakyat tak nampak komitmen itu berlaku, rakyat nak sebenarnya ada agenda-agenda yang kita kata ‘reformasi’ ini yang dilaksanakan, tapi tak berlaku.
“Rakyat hendak kos sara hidup mereka dapat diringankan, bantuan ditambah dan tidak ada langkah-langkah yang bakal menjadikan mereka lagi terbeban, ini kehendak rakyat,” katanya ketika menjawab soalan moderator Bicara HD, Suffi Kamari mengenai PRK Kuala Kubu Baharu yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Faisal yang juga merupakan mantan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya berkata, tidak semua rakyat berpeluang untuk menyatakan bahawa mereka telah hilang kepercayaan kepada kerajaan.
Katanya lagi, rakyat mendesak agar kerajaan bertindak lebih agresif untuk menyelesaikan masalah rakyat.
“Hanya pengundi PRK ke Kuala Kubu Baharu ada peluang ini, dulu ada PRN enam negeri, satu negara tidak ada peluang itu dan telah ditunjukkan, sampai sekarang masih tidak berubah.
“Ada PRK Parlimen Pulai sampailah ke PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, rakyat dah tunjukkan pun. Undi kepada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional kurang, tetapi masih tak berubah.
“Hari ini adalah peluang untuk menunjukkan bahawa rakyat perlu bagitahu (kerajaan) kos sara hidup makin tinggi, harga barang naik melampau, bil elektrik makin tinggi dan tarif elektrik pun nak naik lagi,” tegas beliau.
Tun Faisal turut akui bahawa kerajaan kini tidak melakukan apa-apa tindakan yang dapat mengurangkan beban rakyat.
“Malah paling teruk subsidi akan ditarik dalam minyak petrol dan dan ini juga akan menyebabkan kehidupan kami (rakyat) makin teruk.
“Peluang rakyat keseluruhan memang tidak dapat tapi hanya peluang pengundi di Kuala Kubu Baharu sahaja yang boleh tunjukkan kepada kerajaan ini (bahawa) ‘kami’ dah tak tahan, kami hendak akan perubahan.. tapi kami tak dapat perubahan itu.
“Di Kuala Kubu Baharu ‘kami’ nak bagitahu.. hari ini ‘undi’ kami, kami nak kerajaan ‘ini’ serius nampak apa yang rakyat nak dan segera bertindak untuk betulkan keadaan, sepatutnya itu yang berlaku di Kuala Kubu Baharu,” katanya. -HARAKAHDAILY 24/4/2024




















