Pemerbadanan LLM mesti dikendali profesional

Datuk Idris Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) yang bakal diperbadankan harus dikendalikan oleh pakar-pakar profesional, kata Datuk Ustaz Idris Ahmad (PN-Bagan Serai).

Menurut beliau, ia tidak seharusnya sekadar untuk memberi elaun kepada pihak-pihak berkepentingan dengan tujuan politik.

- Advertisement -

“Lantiklah orang-orang yang ada kebolehan, mampu untuk menjana pendapatan untuk membantu Lembaga Lebuhraya (Malaysia).

“Kalau hanya semata-mata untuk nak beri elaun, lebih baik duit lebuhraya tu letak dalam fixed deposit, untung bagi dekat dia orang,” ujarnya dalam nada sinis.

Tambah Ustaz Idris, penubuhannya juga haruslah dapat memberikan pulangan keuntungan kepada negara daripada operasinya.

“Tujuan dibenarkan tubuh syarikat ni kerana untuk menjana pendapatan untuk lebuh raya. Biarlah difikirkan tentang ROI-nya, ‘return on investment’.

“Sekurang-kurangnya tak boleh dapat 90 peratus pun, kurang-kurangnya dolar to dolar,” katanya di Dewan Rakyat hari ini sewaktu membahaskan Rang Undang-undang Lembaga Lebuhraya Malaysia (Pemerbadanan) 2024.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS itu menambah, lembaga itu juga seharusnya tidak diurus secara sambil lewa semata-mata kerana ia ‘dijamin’ oleh dana awam.

“Jika berlaku kerugian adakah ianya akan dijamin oleh kerajaan? Kerana kita mengambil pengalaman-pengalaman yang biasa berlaku dalam GLC.

“Apabila berlakunya rugi mereka tahu adanya punya ‘parent company’. Ada dia punya ‘bapa’ dia untuk tanggung iaitu rakyat melalui dana awam. Dalam erti kata lain apakah itu akan berlaku?” soalnya.

Jelasnya, jika perkara itu tidak dapat diatasi, ia hanya akan mengulangi kes-kes lepas berdasarkan pengalaman-pengalaman sejarah yang telah memberikan pengajaran kepada negara dan rakyat Malaysia. – HARAKAHDAILY 21/3/2024

- Advertisement -