Janji hapus tol terkubur dengan tanda batu nisan

Dato' Ahmad Yahaya
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menjelaskan berkenaan janji menghapuskan tol yang dianggap terkubur dengan tanda batu nisan apabila memperkenalkan pindaan Seksyen 11 dalam Fasal Ketujuh Sub Seksyen C dan A.

Dato’ Ahmad Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena) berkata, jika dilihat Sub Seksyen C iaitu pada Seksyen 11 (1)(c) dalam akta itu menjelaskan mengenai fungsi untuk memungut tol dan bayaran lain.

- Advertisement -

“Tapi dalam Seksyen baharu C (dan) A adalah mengenakan fi atau apa-apa caj perkhidmatan. Memungut bayaran dengan mengenakan bayaran adalah dua perkara yang berbeza.

“Memungut bayaran dengan mengenakan bayaran. Soalnya siapa yang menentukan caj tersebut, siapa yang akan menanggung caj tersebut? Apakah diambil kira kepentingan awam dengan mengenakan caj tersebut?,” soal beliau.

Dato’ Ahmad mengemukakan perkara tersebut semasa mengambil bahagian berucap dalam perbahasan Rang Undang-undang Lembaga Lebuh Raya Malaysia (Pemerbadanan) (Pindaan) 2023 peringkat dasar di Dewan Rakyat, di sini, sebentar tadi.

Beliau juga meminta penjelasan berkenaan mengapa kerajaan mengenakan bayaran tersebut kerana bimbang akhirnya beban dilepaskan kepada pengguna.

“Begitu juga pindaan dalam Seksyen 11-2 dengan beberapa perkara dimasukkan di bawah Sub Seksyen C mengenai sistem dan teknologi pungutan tol.

“Piawaian dan pengawasan dan kawalan termasuk Sub Seksyen C iaitu mengadakan peruntukan bagi bayaran atau apa-apa caj berhubung dengan perkhidmatan yang diberikan oleh lembaga,” ujar beliau.

Menurutnya lagi, dari sudut lain apakah pula tambahan caj akan berlaku pada masa akan datang selain kenaan tol di lebuh raya dan adakah rakyat akan dikenakan tambahan caj lain kelak. – HARAKAHDAILY 21/3/2024

- Advertisement -