
RAMADAN tiba lagi mengisyaratkan kepada kita bahawa bulan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda telah tiba. Disebut juga bulan puasa kerana di dalamnya, Allah SWT mewajibkan ke atas orang-orang yang beriman untuk berpuasa agar meraih ketakwaan.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ١٨٣
“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Surah al-Baqarah : 183)
Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلاَّ الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ مِنْ أَجْلِي لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ . وَلَخُلُوفُ فِيهِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ
“Setiap amalan kebaikan yang dilakukan oleh anak Adam akan dilipatgandakan dengan sepuluh kebaikan yang semisal dengannya hingga tujuh ratus kali lipat. Allah Ta’ala berfirman (yang bermaksud), “Kecuali amalan puasa. Amalan puasa tersebut adalah untuk-Ku. Aku sendiri yang akan membalasnya. Disebabkan dia telah meninggalkan syahwat dan makanan kerana-Ku. Bagi orang yang berpuasa akan mendapatkan dua kebahagiaan, iaitu kebahagiaan ketika dia berbuka dan kebahagiaan ketika berjumpa dengan Rabbnya. Sungguh bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kasturi.” (HR. Al-Bukhari no. 1904, 5927 dan Muslim no. 1151).
Dalam hadis ini, Nabi SAW menyatakan bahawa setiap amalan soleh yang dikerjakan oleh seseorang akan dilipatgandakan sepuluh kebaikan hingga tujuh ratus kebaikan yang semisal dengannya.
Namun, dikecualikan amalan puasa. Amalan puasa tidak dibatasi pahalanya. Amalan puasa akan dilipatgandakan oleh Allah hingga berkali ganda tanpa ada batasan bilangan.
Ibnu Rajab al Hambali rhm mengatakan bahawa,“Orang yang menjalani ibadah puasa bererti dia telah menjalankan kesabaran”.
Ganjaran bagi orang yang bersabar akan diberikan pahala yang berlipat kali ganda tanpa batas. Allah SWT berfirman yang bermaksud,
إِنَّمَا يُوَفَّى ٱلصَّٰبِرُونَ أَجۡرَهُم بِغَيۡرِ حِسَابٖ ١٠
“Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.” (Surah az-Zumar: 10).
Terdapat tiga jenis sabar yang dimaksudkan dalam ayat ini iaitu :
(1) Sabar dalam melakukan ketaatan kepada Allah
(2) Sabar dalam meninggalkan yang haram
(3) Sabar dalam menghadapi takdir yang buruk.
Ketiga-tiga bentuk sabar ini semuanya terdapat dalam amalan puasa. Apabila kita berpuasa, kita akan bersabar melakukan ketaatan. Kita juga akan bersabar menjauhi perkara yang diharamkan. Kita juga akan berusaha bersabar dari perkara yang menyakitkan seperti rasa lapar, dahaga, dengan badan yang letih lesu dan sebagainya. Sebab Itulah amalan puasa ini akan mendapat pahala yang tidak terhingga banyaknya sebagaimana sabar.

Sesungguhnya, orang beriman yang mempunyai keimanan yang kental sahaja mampu melakukan amalan puasa, sebaliknya mereka yang goyah dan mudah mengikuti hawa nafsu amat sukar baginya untuk melakukan ibadat puasa.
Imam al-Munawi rhm berkata:
“Orang yang berpuasa, Allah SWT memberinya balasan pahala yang banyak. Allah SWT sendiri yang menguruskan balasan pahala itu tanpa diwakilkan kepada malaikat yang paling dekat atau makhluk-makhluk lain kerana puasa itu rahsia antara Allah SWT dengan hamba-Nya. Ini kerana apabila ditahan dirinya daripada nafsu syahwat maka dia diberi pahala dengan pengawasan Allah SWT.” (Dinukilkan dari kitab Faidh al-Qadir: 4/250).
Kesimpulannya, pahala puasa Ramadan dan puasa sunat secara umumnya adalah tidak terhingga kerana di dalamnya ada kesabaran, iaitu sabar dalam ketaatan, sabar dalam menjauhi maksiat serta sabar dalam menghadapi ujian. – HARAKAHDAILY 19/3/2024




















