Isu stoking kalimah Allah: KPDN, JAKIM perlu lebih tegas 

Ir Ts Khairil Nizam Khirudin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS menyeru pihak kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bertindak lebih tegas terhadap isu penghinaan kalimah Allah yang berlaku susulan penjualan stokin oleh Pasaraya KK Supermart.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan PAS, Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin menegaskan, hal ini adalah kerana kalimah Allah merupakan lafaz tertinggi bagi umat Islam dan penjualan produk seperti ini amat mengguris hati umat Islam.

- Advertisement -

Menurut beliau, tindakan penghinaan ini jelas mencetuskan kemarahan umat Islam di negara ini, lebih-lebih lagi ia berlaku dalam bulan Ramadan yang mulia ini. 

“Kita tidak mahu ia menjadi ‘trend’ berterusan di negara ini, apabila kesucian agama Islam dipermainkan lantas disusuli hanya dengan permohonan maaf. 

“Namun kemudian berlaku lagi kes yang lain seolah-olah tiada tindakan tegas boleh diambil kepada pihak yang terlibat,” katanya.

Oleh yang demikian, kedua-dua pihak yang bertanggungjawab iaitu KK Mart Group serta pengilang, Xin Jian Chang perlu diambil tindakan yang lebih tegas, supaya menjadi pengajaran kepada semua pihak berkenaan perkara yang menyentuh sensitiviti agama Islam di negara ini biarpun telah membuat permohonan maaf secara terbuka. 

PAS dalam pada itu, menurut beliau memberi amaran bahawa isu melibatkan penghinaan kalimah Allah adalah sangat sensitif dan menyeru semua pihak jangan mencetuskan kemarahan umat Islam di negara ini. 

“PAS juga menuntut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta JAKIM menggubal peruntukan undang-undang dalam Akta Perihal Dagangan 2011 dengan memperketatkan peruntukan berkaitan penjualan barangan melibatkan sensitiviti agama Islam di negara ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/3/2024

- Advertisement -