Saham: Bekas SETPOL PM wajar jadi ‘contoh’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri dicadangkan untuk dilantik sebagai mentor kepada anak-anak muda untuk muncul sebagai ahli perniagaan yang ‘dicontohi’.

Ustaz Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata, ini berikutan beliau muncul sebagai pemegang saham utama dalam HeiTech Padu Bhd dengan 15.9 peratus kepentingan dalam syarikat itu.

- Advertisement -

“Dalam usia yang muda muncul sebagai jutawan yang hebat. Ini satu contoh yang baik. Ini satu perkembangan yang begitu bagus dalam negara kita Malaysia pada hari ini. Dan pelajar-pelajar universiti boleh dilatih untuk menjadi orang-orang seperti ini.

“Sebagai orang-orang yang rapat dengan ahli-ahli politik dan muncul sebagai jutawan-jutawan yang hebat dalam usia yang muda. Saya yakin ramai yang bersetuju dengan ucapan saya pada kali ini,” sinis beliau.

Ketua Penerangan PAS Pusat itu mengemukakan perkara tersebut semasa mengambil bahagian berucap pada perbahasan Rang Undang-undang Universiti dan Kolej Universiti Pindaan 2023 di Dewan Rakyat, di sini, sebentar tadi.

Ustaz Fadhli berkata, subseksyen 15A yang memberikan kebenaran pungutan dan penerimaan wang perlu dipinda berikutan mahasiswa sudah lama dinafikan hak untuk mengendalikannya bagi menampung keperluan aktiviti persatuan mahasiswa, perlu dipinda.

“Hal ini telah merencatkan usaha membangunkan potensi mahasiswa yang dilihat seolah-olah mengemis dan merayu kepada pihak pentadbiran universiti yang terlalu berkira-kira untuk meluluskan satu-satu permohonan peruntukan.

“Pihak pentadbiran universiti juga tidak boleh disalahkan dengan wang yang mereka ada. Saya fikir bahawa mereka pun sudah tentu terpaksa membuat satu tapisan yang sangat sangat kuat untuk meluluskan peruntukan kewangan kepada pelajar,” ujar beliau.

Beliau mencadangkan pentadbiran universiti dalam perkara ini perlu melazimi amalan pengurusan kewangan yang telus untuk membentangkan aliran tunai melibatkan wang terkait dengan kegunaan aktiviti pelajar.

Tambahnya, beliau bimbang kepada pelajar dalam perkara ini ialah adanya pengaruh-pengaruh luar yang boleh memberikan dana kepada mereka menyebabkan aktiviti disusun itu akan melibatkan atau terarah dengan pengaruh daripada luar.

“Saya andaikan mana-mana pihak yang mempunyai wang yang banyak boleh memberikan sponsor kepada aktiviti pelajar untuk mempromosi diri mereka di dalam universiti.

“Dalam hal ini saya yakin bahawa kena adanya suatu tapisan ataupun SOP yang tersendiri dalam meluluskan peruntukan-peruntukan luar kepada pelajar.

“Dan saya yakin pelajar-pelajar ini kalau diberikan pendedahan tentang pengurusan kewangan yang bagus mereka boleh menguruskan kewangan mereka sendiri. Kita mahu supaya pelajar-pelajar lahir sebagai belia-belia yang hebat. – HARAKAHDAILY 18/3/2024

- Advertisement -