Solidariti UMMAH buat Teo Kok Seong

Mohd Zai Mustafa (kiri) dan Teo Kok Seong
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) akan bersama-sama bersolidariti dalam memberikan sokongan kepada Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong yang telah dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Brickfields, di sini, esok (15 Mac).

Presiden Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa berkata, siasatan yang dilakukan terhadap Kok Seong adalah satu tindakan primitif yang tidak menghormati pandangan pakar akademik di negara ini, yang sepatutnya bebas dan tidak dikongkong dalam memberikan pandangan berdasarkan kajian dan keilmuan mereka yang telah pun diiktiraf. 

- Advertisement -

Kok Seong telah dipanggil ke IPD Brickfields, susulan pandangan beliau sebagai seorang pakar dan akademik mengenai isu mempertahankan sekolah satu aliran dan bahasa melayu sebagai bahasa pengantar utama di sekolah kebangsaan; bahawa sekolah jenis kebangsaan dan vernakular adalah penghalang kepada rapuh dan longgarnya asas perpaduan kaum di Malaysia.

“Kenyataan Prof Teo Kok Seong sebelum ini telah mendapat respons yang sangat keras daripada Ahli Parlimen Bagan dari DAP di Parlimen seperti ‘lupa daratan’ sehingga berlaku gesaan oleh Ahli Parlimen Seputeh agar siasatan dilakukan terhadap beliau,” kata Mohd Zai.

Dalam pada hujah beliau, sekolah satu aliran dan bahasa Melayu adalah asas kepada perpaduan di negara ini,  jika ini tidak dapat diarus perdanakan, bagaimana semua pihak boleh belajar dan duduk di bawah satu bumbung bagi mewujudkan integrasi kaum yang sewajarnya bermula di peringkat awal pendidikan lagi?

“Pemisahan di peringkat awal pendidikan mengikut kaum akan melebarkan lagi jurang dan menyemai bibit-bibit garis pemisahan kaum yang lebih besar pada masa akan datang. Sudah pasti perpaduan kaum gagal dilaksanakan dalam pendidikan negara”, tegasnya.

Oleh itu, UMMAH menyeru semua pihak termasuk NGO, NGI dan ahli akademik bersama-sama memberi sokongan kepada penegasan Prof Datuk Dr Toe Kok Seong dalam isu berkenaan. – HARAKAHDAILY 14/3/2024

- Advertisement -