
KOTA BHARU: Pasukan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) menerima tajaan berjumlah RM600,000 daripada syarikat pengeluar pakaian dan peralatan sukan berjenama tempatan iaitu PUC Sport.
Presidennya, Rozi Muhamad berkata, tajaan itu memberi suntikan moral kepada pemain KDN FC untuk mengharungi saingan Liga Malaysia yang akan bermula Mei hadapan.
Katanya, KDN FC sangat berbangga kerana PUC Sport sebagai syarikat anak Kelantan memberi sokongan tidak berbelah bahagi.
“Kami mengucap terima kasih di atas keprihatinan terebut kerana kesungguhan PUC Sport memartabatkan Kelantan dalam arena bola sepak Malaysia,” katanya selepas Majlis Menandatangani Perjanjian dan Penyerahan Penajaan di sini. Hadir sama, Pengarah Urusan PUC Sports, Mohd Shukry Pauzi. (Foto atas)
Sehubungan itu beliau berharap barisan pemain KDN FC mempamerkan aksi terbaik sepanjang musim sekali gus turut menjulang nama-nama penaja.
KDN FC sebelum ini dikenali sebagai Kelantan United FC, merupakan pasukan kedua mewakili Kelantan bersama The Red Warriors.
Rozi yang juga Adun Tendong berkata, penjenamaan semula nama dan logo kelab untuk menyatupadukan semula penyokong dan pendukung bola sepak di bawah satu bendera iaitu Kelantan. – HARAKAHDAILY 14/3/2024











