Bayaran royalti petroleum Terengganu masih tertunggak

Ahmad Samsuri ketika muncul dalam siaran audiosiar ‘Keluar Sekejap’ pada 13 Mac 2024.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Status tunggakan pembayaran royalti petroleum atau Wang Ehsan kerajaan Persekutuan kepada kerajaan Terengganu masih menjadi tanda tanya apabila sehingga kini, tiada bayaran dibuat bagi tahun 2023.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jumlah keseluruhan yang belum dibayar kerajaan Persekutuan bagi tahun 2023 adalah berjumlah RM600 juta. 

- Advertisement -

“Kita bercakap terus terang, sebelum kita hadapi Pilihan Raya Umum pada bulan November 2022, kerajaan negeri Terengganu dah terima royalti pada bulan Mac dan September 2022, jadi selesailah.”

“Namun, apabila tamat pilihan raya, bayaran yang diterima oleh Terengganu hanyalah bayaran untuk emolumen (gaji), tidak termasuk satu dua perkara lagi untuk perkara-perkara lain,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika muncul dalam siaran audiosiar (podcast) ‘Keluar Sekejap’ bersama bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan mantan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan menerusi saluran YouTube pada Rabu.

Ketika ditanya oleh Khairy mengenai adakah pembayaran tersebut perlu dilakukan secara automatik, beliau menjawab “benda (ia adalah secara) automatik sebelum-sebelum ini”. 

Tambah beliau, selepas pilihan raya, pihaknya mula berdebar menanti pembayaran pertama bagi bulan Mac 2023. 

“Terima atau tidak? Tengok-tengok bila sampai bulan Mac, yang diberi hanya untuk bayar emolumen. Tambahlah sedikit satu dua untuk perkara-perkara yang spesifik yang masih belum cukup sebagaimana yang sepatutnya” ujarnya. 

“Bila masuk bulan April pun begitu. Apabila saya berjumpa dengan Menteri Kewangan (Datuk Seri Anwar Ibrahim), dia kata dia akan bagi, tengoklah macam mana,”

“Sehinggalah bulan yang berikutnya semasa beliau (Anwar) berkunjung ke program Hari Raya Madani di Terengganu, saya pun merayu sekali lagi supaya diberi (pembayaran) sebagaimana biasa. Dia (Anwar) kata tunggu lepas pilihan raya negeri.

“Saya punya jangkaan ialah ada pihak lain yang memaklumkan kepada beliau, kalau diberi kepada Terengganu (royalti), Terengganu akan kuat untuk berhadapan pilihan raya. Tapi tak bagi pun, kosong je (kerusi DUN)”, katanya.  – HARAKAHDAILY 14/3/2024

- Advertisement -