
KOTA BHARU: Kelantan berhasrat membina tugu pendaratan Jepun dalam laut di Pantai Kuala Pak Amat, Pengkalan Chepa bagi memulihara kesan-kesan sejarah dunia supaya tidak pupus.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Kamarudin Md Nor berkata, lokasi tersebut merupakan tempat pendaratan Jepun di Tanah Melayu pada 8 Disember 1941.
Menurut beliau, tugu sedia ada di kawasan pantai didapati tidak berada pada titik permulaan pendaratan Jepun ketika itu.
“Tempat Jepun mendarat sebenarnya sudah tenggelam dan berada jauh dalam laut, sebab itu tugu perlu dibina di kawasan lautan berhampiran pantai berkenaan.
“Pembinaan tugu itu dijangka melibatkan kos yang tinggi tetapi dianggap perlu untuk memastikan sejarah terus terpelihara,” katanya di sini.
Kamarudin bagaimanapun mengakui, cadangan pembinaan tugu itu perlu melalui beberapa proses yang agak rumit termasuk mendapat kerjasama daripada kerajaan Jepun.
Kata beliau, pihaknya akan cuba mengesan nama pasukan tentera yang terlibat dan waris-waris mereka dalam usaha mendapatkan sumbangan dana bagi memahat semula sejarah Perang Dunia Kedua.
“Usaha perlu bermula dengan mencari maklumat serta mengenali batalion tentera Jepun yang mendarat di Pantai Kuala Pak Amat pada 1941.
“Kemudian kita menjejaki waris-waris anggota tentera Jepun terlibat yang tentunya memerlukan bantuan serta kerjasama daripada kerajaan Jepun,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/3/2024











