Jualan Rahmah: Kenal pasti sasaran sebenar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mengenal pasti rakyat yang benar-benar memerlukan agar dapat membeli dan merasai barangan keperluan harian pada harga lebih murah dalam program Jualan Rahmah.

Ustaz Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) berkata, hasrat kerajaan tidak tercapai jika jualan itu dibuat secara terbuka, sedangkan Belanjawan 2024 hanya memperuntukkan lebih kurang RM200 juta bagi tujuan menampung inisiatif tersebut.

- Advertisement -

“Sasaran kepada penduduk kita ialah yang B40 orang miskin dan bila jualan ini boleh dibeli termasuk saya sendiri boleh beli, termasuk M40 ataupun T20 sebab itu kena ada mekanisma supaya wang yang diperuntukkan ini sampai kepada sasaran kita.

“Sasaran kita ialah penduduk yang amat memerlukan, kalau boleh biarlah sasaran boleh beli itu orang yang memang layak, saya bimbang takut wang RM200 juta nanti habis dan program ini tidak diteruskan kerana bajet tidak cukup,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dalam jawapannya menyambut baik cadangan tersebut, malah pihaknya sentiasa menerima cadangan dan kritikan bagi menambah baik pelaksanaan program yang membantu rakyat pada ketika ini.

Kementerian juga memperkenalkan program Jualan Rahmah Bergerak katanya, supaya pihaknya dapat mengenal pasti kawasan di negara ini yang mempunyai ramai golongan terjejas akibat peningkatan kos sara hidup dan kenaikan harga barangan keperluan harian.

“Golongan sasar tadi saya amat setuju dengan apa yang dibangkit Bagan Serai, ini tahun kedua kita melaksanakan program ini dan memang sewajarnya peruntukan meskipun jumlahnya mungkin besar tetapi tuntutan keperluan rakyat itu jauh lebih besar sebenarnya.

“Jadi sebaiknya program itu disasarkan, itu sebab kita memperkenalkan juga Jualan Rahmah Bergerak ini supaya kita dapat kenal pasti mana kawasan di negara ini yang menjadi tumpuan rakyat benar-benar memerlukan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Papar. – HARAKAHDAILY 14/3/2024

- Advertisement -