
SEREMBAN: Tindakan menghidangkan arak dalam sebuah majlis anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) baru-baru ini bukan sahaja mencetuskan kemarahan umat Islam, tetapi turut dilihat menjejaskan dan mencemarkan imej Kerajaan Madani.
Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Mohd Fairuz Mohd Isa berkata, amalan tersebut menimbulkan persoalan serius terhadap komitmen kerajaan dalam menterjemahkan slogan dan dasarnya kepada tindakan yang selari.
“Majlis rasmi kerajaan sepatutnya menjadi cerminan tatakelakuan, akhlak dan contoh terbaik kepada rakyat.
“Apabila arak dihidangkan, ia bukan sahaja mencemarkan imej kerajaan, tetapi secara langsung merosakkan citra Kerajaan MADANI yang sering dilaungkan,” katanya.
Beliau menyifatkan kejadian yang difahamkan berlaku ketika program Global Travel Meet 2025 itu sebagai tidak beradab dan tidak menghormati sensitiviti umat Islam, selain bertentangan dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
Sehubungan itu, PAS Negeri Sembilan mendesak Kerajaan Persekutuan untuk segera menghentikan amalan menghidangkan arak dalam semua majlisnya bagi membuktikan keseriusan dalam menjaga maruah agama dan moral negara.
Pihaknya turut menggesa agar garis panduan rasmi yang selari dengan nilai Islam diperkenalkan, di samping menuntut penjelasan terbuka daripada menteri yang bertanggungjawab.
Sebelum ini, Menteri MOTAC, Datuk Seri Tiong King Sing menjelaskan bahawa majlis makan malam yang menjadi isu itu adalah inisiatif pihak industri dan sektor swasta untuk meraikan rakan-rakan antarabangsa.
Walau bagaimanapun, PAS Negeri Sembilan tetap dengan pendiriannya.
“PAS Negeri Sembilan berdiri teguh mempertahankan prinsip ‘Islam Memimpin Perpaduan’, dan akan terus bersuara bagi memastikan Malaysia kekal sebagai negara bermaruah, berakhlak dan diberkati Allah SWT,” tegas Mohd Fairuz. – HARAKAHDAILY 8/10/2025




















