Masalah jalan raya rosak perlu teknologi baharu

Mohd Hasnizan Harun
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menjelaskan teknologi bahan terapan baru dalam kerja penyelenggaraan jalan raya di Malaysia berikutan kerosakan jalan di seluruh negara menghadapi masalah yang sama, demikian gesa Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor).

“Saya ingin mendapat sedikit penjelasan berkaitan cadangan teknologi bahan terapan baru dan dalam kerja penyelenggaraan yang dilakukan oleh Kementerian Kerja Raya memandangkan nak dapat dana bukan senang tetapi bila sudah dapat kita baiki dan ia rosak semula.

- Advertisement -

“Saya tertarik di tempat saya di Bukit Beruntung, pernah dibaiki jalan tersebut sampai sekarang tiada masalah. Saya tidak pasti apa material yang digunakan. Jadi mungkin minta sedikit penjelasan,” ujarnya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi jawab lisan, di Dewan Rakyat, hari ini.

Hasnizan dalam soalan asalnya minta menyatakan tindakan yang telah atau yang akan diambil oleh kementerian untuk mengatasi masalah pembaikan jalan raya iaitu turapan bukan tampalan yang berlaku di seluruh Malaysia.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, bagi meningkatkan ketahanan jalan untuk kerja penyelenggaraan pihak kementerian turut memakai jenis-jenis turapan baharu dalam kerja-kerja turapan jalan persekutuan.

“Penyelidikan dan pembangunan (RnD) itu sentiasa ada Jabatan Kerja Raya (JKR) ini. Sehubungan itu pelbagai kerjasama telah dijalankan oleh pihak kementerian dengan pihak swasta dan agensi kerajaan yang lain.

“Ia dalam usaha menerokai teknologi bahan terapan speciality mix dalam kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya. Jadi antara bahan turapan speciality mix yang telah digunakan adalah seperti crumb rubber modified asphalt (CRMA).

“Super fiber mix (SFM), polymer modified asphalt (PMA), cup lump modified asphalt (CMA), fiber mastic asphalt (FMA), stone mastic asphalt (SMA) dan MR-6 MacRebur dan lateks,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/3/2024

- Advertisement -