
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) diminta untuk menjelaskan sama ada pemimpin pembangkang boleh dijemput sekali di dalam program-program di Institut Pengajian Tinggi (IPT) di negeri-negeri dipimpin mereka.
Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) berkata, perkara tersebut bagi mengelakkan kejadian baru-baru ini di mana terdapat pimpinan negeri berkaitan sektor tersebut diketepikan.
“Adakah pihak KPT bersedia untuk turut melibatkan pihak kerajaan negeri di tempat universiti berkenaan dalam siri-siri yang akan datang?
“Supaya insiden yang berlaku kepada seorang Exco Pengajian Tinggi di Kedah itu tidak berulang,” ujarnya sewaktu sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, Parlimen, di sini hari ini.
Tambah beliau, berdasarkan konsep yang pernah diutarakan oleh Menteri KPT yang mahu mahasiswa menjadi ‘doktor sosial’, perkara tersebut penting bagi memberi pendedahan kepada mahasiswa terhadap kepimpinan dan sebagainya.
“Untuk menjadi ‘doktor sosial’ itu, adakah mahasiswa diberi kebenaran untuk melibatkan semua pihak (iaitu) menjemput pakar akademik, (juga) ahli politik, termasuk kami pada pembangkang?
“(Yakni) untuk masuk dalam kampus berdialog dan melahirkan mahasiswa yang lebih bersifat analitikal dan pelapis kepimpinan pada masa akan datang?” soal beliau yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN).
Menteri KPT, Dato’ Seri Zamry Abdul Kadir dalam jawapannya berkata, memang menjadi amalan kementerian untuk berjumpa dengan pemegang taruh terutamanya pihak Canselor universiti dan pihak kerajaan negeri yang berkenaan.
“Kerana kehadiran kita sebagai kerajaan, kita nak ingin pastikan supaya penglibatan semua pihak itu dapat dipastikan bagi memastikan supaya setiap program yang kita nak laksanakan itu dapat memberi manfaat kepada semua.
“Ini termasuklah soal apa yang disebutkan oleh (Ahli Parlimen) Alor Setar tadi dalam menjemput semua kalangan yang ada, pemegang taruh yang ada ke dalam program-program yang diaturkan sama ada dalam kampus ataupun di luar kampus,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 14/3/2024




















