Isu pendidikan bukan setakat kantin di bulan Ramadan

Laila Norinda Maon
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan sewajarnya membincangkan perihal pendidikan yang lain dengan lebih serius, bukan setakat isu kantin sekolah dibuka sepanjang Ramadan.

Ketua Wiranita Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Laila Norinda Maon, berkata, beliau sedih melihat keadaan pendidikan negara pada hari ini kerana isu tersebut sudah lama dibincangkan. 

- Advertisement -

“Bukan tahun ini sahaja, tahun lepas pun sama. Sampai habis bulan puasa tahun lepas, tiba pula puasa tahun ini, kita masih bincang lagi. Nak buka ke nak tutup kantin sekolah?”

“Banyak lagi hal-hal pendidikan yang besar tak dibincangkan secara serius (oleh kerajaan),” katanya dalam suatu kenyataan, hari ini sambil menambah bahawa isu pendidikan yang perlu diambil serius untuk dibincangkan adalah mengenai bilangan pelajar yang terlalu ramai di dalam sesebuah kelas.

“Kelas anak-anak kita dah melimpah ruah sebab terlalu ramai murid, kita tak bincang pula secara serius. Tak ada pula kita dengar apakah solusi jangka pendek yang akan diambil untuk selesaikan isu kelas sesak murid? 

“Solusi jangka panjang kita memang dah tahu, iaitu ‘kita akan bina sekolah baharu’. Akibat kelas sesak, pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) yang menjadi ‘nadi pendidikan’ akan teruk terjejas,” tegasnya.

Mengulas lanjut, beliau mempersoalkan bagaimana pelajar akan belajar dengan selesa dan kondusif jika terpaksa belajar dalam kelas yang begitu sesak.

“Anda kena lihat sendiri untuk rasa empati dan ehsan pada keadaan anak-anak ini di dalam kelas yang sesak ini. Bagaimana guru-guru dapat mengajar dengan selesa dan berkesan dalam kelas yang sesak dengan 50 orang murid?” hujahnya lagi.

Oleh demikian, tambah beliau, perkara ini yang menyebabkan terdapat ibu bapa Melayu yang hantar anak ke sekolah vernakular walaupun sekolah tersebut tidak membawa misi semangat Perlembagaan Negara iaitu Kedaulatan Bahasa Melayu. 

Katanya lagi, ibu bapa mengejar  kecemerlangan pelajaran anak-anak lebih dari semangat nasionalis negara.

“Bagaimana anak-anak kita akan mahir membaca, mengira dan menulis (3M), serta bermotivasi untuk belajar dengan aktif dan gembira kalau pembelajaran mereka sejak tahun satu lagi sudah tidak berkesan sebab kelas sesak dengan murid-murid? 

“Bayangkan pula kesan jangka panjang terhadap kemahiran 3M dan pencapaian pembelajaran anak-anak kita akibatnya kelas yang sesak ini? 

“Mengapa isu sebesar ini tidak pula dibincangkan berhari-hari dan disediakan solusi jangka pendek? Ironi, bila isu buka tutup kantin pula yang jadi masalah besar pada pendidikan negara. Mengapa akal budi kita boleh jadi begini?,” soalnya.

Beliau menyatakan lagi, terdapat lebih banyak isu pendidikan sekolah yang lebih serius yang perlu dicari jalan penyelesaiannya. 

“Hal yang lebih serius, isu kelas sesak mana solusinya? Kasihan anak-anak dalam kelas yang sesak. Panas, rimas, sesak dan bising.

“Kasihanlah pada cikgu yang uruskan murid-murid dalam kelas yang sesak. Mana nak kawal kelas, mana nak mengajar lagi, mana nak uruskan kanak-kanak yang berbagai ragam.

“Bila akal budi kita tidak bijak mengutamakan yang paling utama, hidup kita nantinya pasti lebih sukar,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/3/2024

- Advertisement -