AS lulus RUU haramkan TikTok: Reaksi China

Amerika Syarikat mendakwa TikTok telah mencetuskan ancaman keselamatan kepada negara tersebut. (FOTO: TechNave)
- Advertisement -

WASHINGTON D.C: Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) telah mengundi dan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) untuk mengharamkan aplikasi TikTok, sekaligus memberikan pemilik aplikasi berkenaan, ByteDance tempoh enam bulan untuk menarik balik TikTok atau berdepan pengharaman di negara.

Tindakan pada hari Rabu (14 Mac), waktu tempatan, itu diambil susulan dakwaan isu keselamatan data peribadi 170 juta rakyat Amerika yang diakses oleh ByteDance menerusi aplikasi berkenaan, didakwa  mendatangkan ancaman keselamatan kepada negara tersebut. 

- Advertisement -

Kementerian Luar China dalam reaksinya pula telah membidas kenyataan berkenaan dengan menyatakan bahawa hakikatnya bahawa AS tidak pernah menemui bukti bahawa TikTok mengancam keselamatan negara. 

Menurut jurucakapnya, Wang Wenbin dalam kenyataaan berkata: “Tingkah laku buli seperti ini yang tidak boleh menang dalam persaingan yang adil mengganggu aktiviti perniagaan biasa syarikat, merosakkan keyakinan pelabur antarabangsa dalam persekitaran pelaburan, dan merosakkan aturan ekonomi dan perdagangan antarabangsa yang normal.

Terdahulu, pegawai dan penggubal undang-undang Amerika Syarikat telah menyuarakan kebimbangan bahawa kerajaan China akan memaksa ByteDance untuk menyerahkan data dan maklumat dari pengguna Amerika. 

Mereka juga khuatir TikTok akan digunakan oleh kerajaan China untuk menyebarkan propaganda, memberikan maklumat yang salah dan sekaligus mempengaruhi pemikiran rakyat AS. 

Undian dari Dewan Perwakilan AS itu merupakan langkah pertama dalam pengharaman TikTok. Ini kerana RUU berkenaan perlu mendapat kelulusan daripada Dewan Senat yang dilihat bakal mengadakan perbahasan yang mendalam mengenai isu tersebut. 

Presiden AS, Joe Biden dalam pada itu menyatakan beliau akan menandatangani RUU berkenaan jika diluluskan oleh Senat.

Sebelum ini, mantan Presiden AS, Donald Trump pernah berusaha untuk mengharamkan aplikasi berkenaan pada 2020, namun tidak berjaya apabila mahkamah mengeluarkan perintah untuk menunda pengharaman tersebut beberapa bulan sebelum pelantikan Joe Biden. – HARAKAHDAILY 14/3/2024

- Advertisement -