
KUALA LUMPUR: Pergerakan Wira Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menyokong Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan oleh kerajaan Madani bagi tujuh kerusi yang beralih pendirian dari gabungan parti asal.
Nasrul Hasan Abdul Latif berkata, beliau bersetuju dengan kenyataan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sebelum ini mencabar Perdana Menteri mengadakan PRK di tujuh kerusi pemimpin daripada Perikatan Nasional (PN) yang telah menunjukkan sokongan kepada kerajaan Madani.
“Ini bertujuan supaya Perdana Menteri dapat menunjukkan bahawa pendapat Tan Sri Muhyiddin pasti meleset bahawa PN boleh menang lebih besar sekiranya PRK diadakan di bawah pentadbiran kerajaan pada masa ini,” katanya.
Menurut beliau, tindakan tersebut juga dapat membuktikan kerajaan Madani benar-benar menjadi pilihan rakyat dan mengangkat ketertinggian undang-undang (Rule of Law) dengan pelaksanaan Perlembagaan dan segala undang-undang yang termaktub dan telah dipersetujui serta dipinda bagi memastikan kestabilan politik berjalan dengan lancar.
Tambah beliau, perkara tersebut masih boleh dilaksanakan melainkan pihak kerajaan itu sendiri hanya sekadar memberi laungan retorik yang masih mahu menyekat kebebasan rakyat untuk membuat pilihan dan mengamalkan demokrasi mati.
“Pindaan Akta Lompat Parti telah dilakukan yang bertujuan untuk menghalang Ahli-Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri daripada menyalahguna proses demokrasi dan mengkhianati mandat rakyat.
“Namun, alasan menyokong Perdana Menteri dan Menteri Besar berlainan parti semata-mata untuk menjaga rakyat dan demi negara itu adalah tidak munasabah dan tidak berasas kerana untuk apa mereka beralih sokongan? Adakah untuk dana pembangunan dan aktiviti di kawasan mereka?” ujarnya.
Beliau menyatakan bahawa rakyat sendiri boleh menilai sama ada ahli Parlimen yang terlibat benar-benar jujur atau sebaliknya kerana mengalihkan sokongan kepada pemimpin berlainan parti adalah niat yang sama dan bertujuan seperti melompat parti.
Kata beliau, kerusi tersebut boleh dikosongkan secara sukarela sekiranya mereka benar-benar bersifat jujur.
“Saya nasihatkan sekiranya ahli-ahli Parlimen yang beralih sokongan ini kosongkanlah kerusi secara sukarela sekiranya benar-benar bersifat jujur,
“Ini adalah untuk memberikan rakyat kuasa semula untuk membuat pilihan dan memberi mandat kepada ketujuh-tujuh mereka melalui lambang Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN),” katanya. – HARAKAHDAILY 11/3/2024




















