
KANGAR: Perlis secara rasminya menjadi negeri bebas daripada premis judi menjelang Ramadan kali ini, apabila premis terakhir di Padang Besar telah ditutup pada Rabu (6 Mac) lalu.
Tindakan itu menjadikan Perlis sebagai negeri keempat di Malaysia selepas Kelantan, Terengganu dan Kedah yang telah mengharamkan premis judi daripada beroperasi.
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, pihaknya gembira dengan pencapaian itu dan secara tidak langsung, Ramadan kali ini yang akan disambut esok, Selasa (12 Mac) lebih berkat khususnya bagi negeri kecil ini.
“Alhamdulillah, Ramadan kali ini akan lebih penuh bermakna dan berkat bagi Perlis. Dengan penutupan terakhir premis judi di Padang Besar, Perlis kini secara rasminya menjadi negeri keempat bebas (seratus peratus) daripada premis judi,” katanya dalam hantaran di media sosialnya, pada hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Asrul Aimran Abd. Jalil berkata, tindakan menghentikan lesen premis judi adalah untuk keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
“Keputusan untuk menghentikan lesen premis judi ini demi memastikan rakyat pelbagai agama dan kaum di Perlis dapat hidup dengan selamat dan sejahtera,” ujar beliau.
Asrul juga menegaskan, kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dan agensi-agensi yang bertanggungjawab dalam membanteras aktiviti perjudian secara haram.
“Dalam menghadapi cabaran ini, orang ramai disaran agar bersatu dalam menyampaikan maklumat bagi memastikan isu ini dapat ditangani secara berkesan,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/3/2024.




















