
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa memberikan peruntukan kecemasan dan bertindak untuk mempercepatkan pembinaan breakwater (pemecah air) yang dijangka siap tiga tahun lagi berikutan berlaku hakisan yang kritikal di Batu Rakit akibat Monsun Timur Laut.
Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) menimbulkan persoalan terhadap kebimbangan keadaan hakisan yang berlaku pada Monsun Timur Laut 2024 dan 2025, sedangkan projek itu dijangka selesai 2026.
“Antara yang saya bahaskan dalam perbahasan saya baru-baru ini ialah berkait dengan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Setiu Satu dan Sungai Setiu Dua dan juga peruntukan kecemasan untuk menghadapi Monsun Timur Laut bagi mengatasi hakisan di sekitar Batu Rakit untuk tahun mendatang ni,” ujar beliau.
Tambahnya, projek Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Kemudu dan Sungai Tong Dua sudah diluluskan pada tahun 2021, tetapi masih belum ditender lagi.
“Jadi menteri tak jawab lagi apa yang saya bangkitkan ini,” kata Shaharizukirnain mengemukakan perkara itu ketika mencelah Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air semasa sesi Jawapan oleh YB Menteri-Menteri ke atas Perbahasan Titah Diraja di sini sebentar tadi.
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, beliau memohon maaf kerana mungkin perbahasan tersebut tidak tercatit.
“Tapi saya akan mengambil maklum apa yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat dan saya akan memberi respons kepada Yang Berhormat secara bertulis,” jawab beliau. – HARAKAHDAILY 11/3/2024




















