
MENJALIN ikatan perkahwinan bermakna kesanggupan untuk hidup bersama selamanya. Pasangan adalah kawan ketawa dan juga kawan bersedih.
Setiap perkara dikongsi bersama. Dalam menjalani kehidupan seharian, pasti ada terselit pengorbanan pasangan masing-masing dalam apa jua cara. Jadi memberikan penghargaan kepada pasangan amat penting agar pasangan berasa dihargai dan sentiasa disayangi.
Pelbagai perkara boleh dilakukan bagi menunjukan tanda menghargai dan tidak semestinya hanya dengan percutian mewah dan hadiah yang mahal. Membawa pasangan menikmati makanan kegemaran juga sudah membuatkan pasangan terasa dihargai.
Perunding Motivasi, Dr Tengku Aswadi Tengku Mohamad berkata, pasangan perlu ada perancangan untuk sentiasa mewujudkan suasana bahagia dalam menghargai pasangan.
Katanya, setiap orang mempunyai pelbagai cara untuk meraikan pasangan masing-masing seperti dengan mencari ruang yang sesuai melakukan pelbagai aktiviti secara bersama. Selain mengeratkan perhubungan, pasangan akan lebih merasai bahawa anda lebih menghargainya kerana sentiasa mahukan dia berada di sisi dalam apa-apa aktiviti.
“Kalau tidak berpura-pura, ia jadi satu kebiasaan dan tak akan penat untuk pasangan kita. Kalau kita tengok bekerja lagi penat berbanding meraikan pasangan. Cuma kadang-kadang kita paksa buat, ia tidak datang dari hati yang ikhlas, itu yang penat,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, setiap pasangan juga penting untuk menanam niat dan berazam meraikan pasangan. Setiap hari kita perlu ingat perkara ini dan perlu lihat bermula dari awal bangun tidur dan percakapan. Kita perlu cari sesuatu yang boleh meraikan dan pujian-pujian itu umpama baja dalam kehidupan supaya kita membajai dan terus kekal subur bahagia.
Justeru, dalam kehidupan hubungan yang bahagia adalah satu daripada matlamat yang diimpikan oleh ramai orang. Pasangan yang bahagia cenderung mempunyai ikatan yang kukuh dan membangun satu sama lain setiap hari. Antara tips yang boleh kita lakukan bagi menunjukkan penghargaan kita kepada pasangan kita.
Terima pasangan seadanya
Jangan cuba untuk mengubah pasangan mengikut kemahuan kita. Ingat, pasangan yang kita kahwini adalah pilihan kita sendiri. Jangan terlalu dambakan kesempurnaan. Terima segala kekurangan kerana tiada manusia yang sempurna. Cuba fikirkan kebaikan pasangan daripada terus memikirkan kekurangan dan keburukannya.
Lakukan aktiviti bersama
Carilah aktiviti yang boleh dilakukan bersama pada waktu lapang. Sebagai contoh mengemas rumah bersama atau menanam pokok bunga bersama. Aktiviti seperti ini, selain mengeratkan perhubungan, pasangan akan lebih merasai bahawa anda menghargainya kerana sentiasa mahukan dia berada di sisi dalam apa-apa aktiviti.
Jujur dalam perhubungan
Sikap jujur sangat penting dalam perhubungan. Tanpa kejujuran, perhubungan yang dibina akan mudah goyah. Jangan sesekali menipu pasangan kerana boleh menyebabkan berlaku perpisahan. Jika ada masalah, berbincanglah. Jujur dalam menegur dan menasihati antara satu sama lain jika ada perkara yang kita tidak suka.
Memberikan layanan terbaik
Berikan layanan yang terbaik kepada pasangan seperti masa mula-mula berkahwin. Kalau dulu, makan bersuap, tidur sebantal, cuba lakukan perkara tersebut kembali. Kenangan-kenangan lama yang indah pasti akan berputik kembali.
Mengawal perasaan
Apabila marah atau ada hal yang mengganggu kita, cubalah bertenang dan bertanya kepada pasangan. Elakkan tuduhan melulu dan meninggikan suara kerana hanya akan membawa kepada pergaduhan. Pasangan akan menghargai jika anda bertenang dalam menghadapi sebarang situasi.
Ingat tarikh penting
Manusia akan merasai lebih dihargai jika kita ingat berkaitan tarikh penting buat diri seseorang itu. Sebagai contoh tarikh lahir dan ulang tahun perkahwinan. Beri kejutan kepada pasangan kita dengan hadiah. Pasangan kita pasti akan lebih menghargai kita dan akan membuat benda yang sama untuk kita nanti.
Beri pujian kepada pasangan
Jangan kedekut untuk memberi pujian kepada pasangan. Contoh pujian adalah berkaitan kecantikan fizikal, memasak atau apa sahaja bentuk pujian yang akan membuatkan pasangan kita tersenyum manis. Pujian adalah perkara yang paling senang yang boleh kita lakukan untuk menghargai pasangan kita.– HARAKAHDAILY 8/2/2024




















