Dulu Anakku Sejahtera, sekarang Permataku Sejahtera

Siti Ashah Ghazali
- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah terus komited meneruskan Program Anakku Sejahtera dengan penjenamaan semula Permataku Sejahtera bagi membantu golongan kurang berkemampuan di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan dan Pembasmian Kemiskinan, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, melalui program tersebut, kerajaan negeri bersetuju menaikkan jumlah bantuan daripada RM100 pada penggal lalu kepada RM200 bagi setiap permohonan.

- Advertisement -

“Program Permataku Sejahtera ini merupakan program yang dinaik taraf daripada program Anakku Sejahtera yang lalu. 

“Program ini dijenamakan semula pada 1 Mac 2024 dengan menyasarkan bayi dari keluarga (ibu bapa) dari golongan B40 dan kurang berkemampuan,” jelas beliau dalam  ucapan penggulungan sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di Wisma Darul Aman, semalam.

Katanya lagi, tempoh permohonan adalah enam bulan dari tarikh kelahiran yang didaftar, melalui borang yang disediakan sama ada di pejabat daerah, pejabat penghulu, pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Kedah. 

Dalam pada itu, pemohon ujarnya perlu mengemukakan  dokumen sokongan seperti salinan sijil kelahiran bayi, salinan kad pengenalan ibu dan bapa dan salinan penyata gaji untuk pengesahan pendapatan.

Sementara tambah beliau, borang permohonan yang telah lengkap diisi perlu mendapat pengesahan penghulu sebelum dikembalikan ke pejabat ADUN atau penyelaras DUN bersama dokumen sokongan untuk disemak untuk mendapat kelulusan. 

“Pemohon tidak perlu lagi membuka  akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) terlebih dahulu, sebaliknya pihak Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan menghantar senarai nama permohonan kepada pejabat kewangan dan perbendaharaan negeri untuk kelulusan peruntukan bagi pembukaan akaun SSPN.

“Pihak PTPTN juga bersedia untuk turun padang bagi membantu pejabat-pejabat ADUN untuk urusan pembukaan akaun dan penerangan lebih lanjut,” jelasnya.

Ashah yang juga ADUN Merbau Pulas menegaskan, adalah  menjadi hasrat kerajaan negeri untuk membasmi kemiskinan secara holistik dengan memastikan kemiskinan tidak diwarisi kepada anak-anak selain pelbagai bantuan sedia ada.

“Nasib keluarga boleh diubah melalui pendidikan komprehensif anak-anak dan sekaligus kemiskinan dapat dikurangkan,” kongsi beliau.

Dalam pada itu, menjawab cadangan Teh Swee Leong (DAP- Kota Darul Aman) ketika mencelah ucapan beliau, Siti Ashah berkata, pihaknya tidak berhasrat untuk memperluaskan skop bantuan tersebut kepada semua rakyat Kedah atas kekangan kewangan. 

“Kita buat program dan bantuan ibarat ukur baju badan sendiri. Kita fokus kepada golongan B40 dan kurang berkemampuan terlebih dahulu, buat masa ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/3/2024

- Advertisement -