
KUALA LUMPUR: Pengagungan menggunakan hutang dalam apa jua perniagaan (Pinjaman Perniagaan) pada hari ini tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW, para sahabat dan juga tabi’in.
Timbalan Pengerusi Pertubuhan Gerakan Keadilan Monetori Malaysia, Muhammad Zahid Abdul Aziz berkata, perniagaan berasaskan Islam adalah berdasarkan ekuiti yang mana satu daripadanya ialah mudharabah.
Kata beliau, sistem tersebut telah diamalkan ketika Nabi Muhammad SAW berniaga yang mana bakal isterinya Saidatina Khadijah Khuwailid r.a. memberikan modal untuk diuruskan oleh Baginda ketika ulang-alik melakukan perdagangan dari Mekah ke Sham (Syria).
“Apa yang Nabi Muhammad SAW lakukan ialah Baginda akan beli barangan dari Mekah dan pergi ke Sham untuk menjual barangan tersebut dan kemudian membeli barangan dari Sham dan balik ke Mekah untuk menjual barangan tersebut yang mana sebarang perkongsian untung rugi dipersetujui sebelum perniagaan bermula lagi,” katanya.
Tambah beliau, segala kerugian perniagaan ditanggung pemberi modal yang dipanggil sebagai Rabbul Maal (pemberi modal) yang mana pengusaha atau Mudarib perniagaan tersebut akan menanggung penat lelah usaha perniagaan sekiranya mengalami kerugian.
“Perjanjian sebegini merupakan suatu bentuk perjanjian perniagaan yang telus dan indah kerana menjamin keadilan semua pihak,” kongsinya.
Menurut beliau, ini berbeza dengan amalan perniagaan bermodalkan hutang yang diamalkan oleh negara barat yang mana sistem tersebut bermula di Venice oleh segolongan Yahudi yang dibiayai oleh saudagar-saudagar Kristian yang kaya raya.
Beliau berkata, walaupun agama Kristian pada ketika itu telah mengharamkan riba tetapi saudagar-saudagar tersebut telah berpakat dengan orang-orang Yahudi untuk melakukan kegiatan tersebut di bangku panjang yang dipanggil sebagai ‘banco’ dalam bahasa Itali.
“Banco merupakan asal-usul kepada perkataan bank yang kita kenal pada masa ini dan apa yang berlaku ialah setelah beberapa zaman berlalu agama Kristian akhirnya telah menghalalkan riba sekiranya tidak melebihi sesuatu tahap.
“Ini berbeza dengan Islam yang tetap mengharamkan riba tidak kira apa pun tahap bunga yang dikenakan kerana Islam amat menekankan keadilan dalam perniagaan yang mana tiada keadilan seandainya satu pihak wajib dapat keuntungan di dalam apa saja keadaan walaupun hanya sedikit,” tegasnya.
Beliau memberikan satu contoh yang mana sebuah pasar raya dibangunkan melalui hutang yang pada awalnya dilihat maju tetapi apabila mengalami banyak kerugian rakan kongsi (pemberi hutang) pasaraya tersebut masih mendapat keuntungan.
Kata beliau lagi, sekiranya pasar raya tersebut tidak mampu untuk membayar pinjaman tersebut maka rakan kongsinya pula tidak berhasrat untuk menggulung tikar tetapi sebaliknya menggalakkan untuk terus berniaga dengan memberikan lebih banyak lagi hutang baru.
“Dengan kata lain, pasar raya itu sendiri telah jadi tunggangan mereka kerana akan terus memberikan keuntungan selama-lamanya dan itu sebabnya kita lihat banyak pasaraya yang sebenarnya sudah mengah dan lesu tetapi masih perlu diteruskan juga untuk elak menjadi bankrap.
“Perkara sebegini perlu diambil perhatian terlebih dahulu sebagai asas menunjukkan perbezaan sistem perniagaan yang diamalkan oleh barat berbanding dengan Islam itu sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/3/2024




















