Tabung Perubatan Sejahtera: Kedah belanjakan RM439,537 

Mansor Zakaria
- Advertisement -

ALOR SETAR: Sehingga tahun 2023, sebanyak RM439,537 bantuan Tabung Bantuan Perubatan Sejahtera telah dibelanjakan melalui agihan kepada empat buah hospital dan dua Pusat Kesihatan Daerah di seluruh Kedah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Mejar (B) Mansor Zakaria (PAS- Kuala Ketil) berkata, agihan itu melibatkan RM143,483 (untuk Hospital Sultanah Bahiyah, dengan seramai 119 pesakit), RM103,470, (Hospital Sultan Abdul Halim, 46 pesakit), RM74,292 (Hospital Kulim, 39 pesakit), RM29,781 (Hospital Sultanah Maliha, 25 pesakit); manakala, RM51,850 (Pusat Kesihatan Daerah Pendang, 69 pesakit) dan RM37,055 ke Pusat Kesihatan Daerah Kulim untuk 38 pesakit. 

- Advertisement -

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Dato’ Dr Mohd Hayati Othman (PAS- Tokai) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) penggal ke-15, di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini. 

“Syarat untuk memohon bantuan Tabung Bantuan Perubatan Sejahtera ini mestilah dari kalangan anak Kedah atau salah seorang ibu atau ayah adalah anak kelahiran Kedah. 

Tiada had umur dan pemohon mesti mendapat pengesahan daripada doktor pakar di hospital yang diiktiraf.

“Pesakit yang layak akan menerima bantuan kos rawatan tidak lebih daripada RM3,000 namun dalam kes tertentu, pihak kerajaan akan membuat justifikasi untuk menambah peruntukan sekiranya perlu,” ujarnya lagi. 

Dalam pada itu, kepada pesakit yang tidak mempunyai keluarga atau tempat tinggal, bantuan Tabung Perubatan Sejahtera ini akan membiayai individu terbabit selama 60 hari di pusat penjagaan selepas keluar dari hospital. 

Di samping itu, bantuan RM200 akan diberi kepada mana-mana pesakit kronik yang memerlukan perbelanjaan untuk berulang alik ketika menerima rawatan. 

“Kita mempunyai perancangan untuk menambah dua buah lagi hospital yang akan menerima agihan bantuan itu, iaitu Hospital Pendang dan Baling. Namun setakat ini, 

empat hospital dan dua Pusat Kesihatan Daerah telah dibahagikan kepada tiga zon. 

“Oleh itu mana-mana hospital lain yang tidak mempunyai doktor pakar, boleh merujuk pesakit berkenaan ke hospital dan Pusat Kesihatan Daerah di tiga zon berkenaan,” tambah beliau menjawab soalan tambah Dr Hayati. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tokai dalam soalan tambahan pula berkata, beliau inginkan penjelasan mengenai kedudukan pesakit kronik yang menerima rawatan di hospital yang tiada doktor pakar. 

“Tabung Bantuan Perubatan Sejahtera merupakan bantuan kerajaan negeri kepada pesakit kronik yang memerlukan rawatan susulan daripada doktor-doktor pakar dan sebanyak RM500,000 diperuntukkan untuk tujuan tersebut,” jawab Mansor. – HARAKAHDAILY 5/3/2024

- Advertisement -