
ALOR SETAR: Mahkamah Syariah perlu menjadi sebuah institusi yang penting kerana ia merupakan obor kepada keadilan agama Islam.
Tuanku Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah bertitah, selain aspek pembangunan fiskal, penekanan kepada aspek kehakiman institusi Mahkamah Syariah juga tidak kurang pentingnya kerana bersesuaian dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negeri di Kedah.
“Beta mahu Mahkamah Syariah menjadi sebuah institusi yang penting sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negeri ini.
“Malah, sebagai langkah pemerkasaan, penubuhan Mahkamah Syariah hendaklah diletakkan dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah sebagaimana Mahkamah Sivil disebut dengan jelas di dalam Perlembagaan Persekutuan,” titah Baginda pada sesi Pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di Wisma Darul Aman, hari ini.
Baginda juga menyarankan agar kerajaan Persekutuan menyemak semula struktur Mahkamah Syariah agarmemberi lebih ruang keadilan kepada pihak terlibat, serta menambah baik kedudukan jawatan hakim Mahkamah Syariah agar setanding dengan sistem digunapakai di Mahkamah Sivil.
Tuanku Sultan Kedah juga mengharapkan saranan baginda itu dapat disegerakan demi memartabatkan ketinggian institusi Mahkamah Syariah khususnya di Kedah.
Sementara dalam perkembangan yang lain, baginda turut mengingatkan rakyat Kedah agar berusaha membela nasib sendiri di samping memupuk kesetiaan serta cintakan negeri tanpa berbelah bagi.
“Rakyat tanpa mengira kaum sama ada yang menyandang jawatan penting, sewajarnya tidak melupakan negeri yang menjadi tanah tumpah darahnya.
“Tiada siapa yang akan lebih membela nasib negeri ini melainkan rakyat negeri ini sendiri, justeru pembentukan jiwa rakyat yang cintakan negeri haruslah dipupuk,” titah baginda lagi.
Dalam pada itu, Baginda membacakan sepotong ayat Al-Quran Nur Karim sebagai pedoman dan rujukan bersama, yang bermaksud “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum, sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri” (Surah Ar Ra’d, Ayat 11).
Dalam masa yang sama, Tuanku Sultan turut mengenang kata-kata Almarhum Tunku Ibrahim ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid ketika menegur seorang pegawai berbangsa Inggeris, suatu ketika dahulu.
“Brains alone without loyalty to the state, or without love for the country, are no use. (Tiada gunanya fikiran semata-mata tanpa kesetiaan dan cinta kepada negara),” titah Baginda. – HARAKAHDAILY 4/3/2024




















