
KUALA LUMPUR: Perbahasan mengenai isu kejatuhan nilai Ringgit terhadap Dolar Amerika Syarikat (AS) antara yang menjadi tumpuan Ahli-ahli Dewan Rakyat dalam sesi soalan-soalan lisan pada persidangan minggu lepas.
Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin mempersoalkan pengumuman komitmen pelaburan ratusan bilion daripada China dan Amerika Syarikat oleh Kerajaan, namun nilai Ringgit masih menjunam dan merudum antara terburuk di Asia.
Menteri Kewangan dalam jawapan bertulis masih memberi jawapan sebagaimana juga di luar bahawa pergerakan Ringgit dipengaruhi oleh pelbagai faktor sama ada dari segi global mahupun domestik.
“Faktor-faktor global termasuklah harga komoditi dan sentimen pasaran kewangan, manakala faktor-faktor domestik seperti pelaksanaan pembaharuan ekonomi, dasar fiskal dan kestabilan dasar yang konsisten juga boleh mempengaruhi nilai Ringgit,” ujarnya.
Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) pula dalam soalannya mahu tahu tindakan segera diambil kerajaan bagi mengekang kejatuhan Ringgit Malaysia yang semakin membimbangkan dan memberi kesan ekonomi terhadap rakyat.
Menteri Kewangan menjawab, kerajaan telah mengambil langkah jangka masa pendek bagi memastikan pelarasan Ringgit berada dalam keadaan teratur iaitu dengan menangani volatiliti dalam pasaran pertukaran asing.
Selain itu, kerajaan dinyatakan berusaha mengurangkan risiko daripada pergerakan mendadak nilai pertukaran Ringgit berbanding Dolar AS melalui penggunaan instrumen lindung nilai, penekanan kepada pinjaman luar negara yang berhemah dan kedalaman pasaran mata wang dalam negeri yang tinggi.
Dr Halimah Ali (PN-Kapar) turut mengemukakan soalan lisan berkaitan isu yang sama meminta kerajaan menyatakan punca penurunan mendadak nilai Ringgit selepas Kerajaan Madani mengambil alih pentadbiran.
Dalam soalan yang sama, Dr Halimah turut bertanya tentang langkah yang telah diambil oleh kerajaan untuk mengatasi isu kos makanan dan kos sara hidup yang semakin membebankan rakyat.
Menteri dalam jawapan bertulis terhadap soalan itu berkata, kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif dan bantuan kepada rakyat dalam mengatasi isu tersebut. – HARAKAHDAILY 4/3/2024











