
Telah 149 hari berlangsungnya peperangan di Gaza, beberapa perkara luar biasa berlaku. Menyebabkan bukan sahaja musuh kehairanan. Bahkan kuasa-kuasa besar dunia yang lain tertanya-tanya, siapakah pejuang-pejuang Palestin ini. Manusiakah mereka, malaikatkah atau jin.
Hingga tokoh-tokoh lagenda perang Israel tertanya-tanya, adakah mereka menggunakan khidmat hantu. “Ataukah ‘Tuhan Musa’ sudah tidak menyebelahi kita?” Kata seorang bekas ketua agensi perisikan Israel, Syabak.
Telah 149 hari Gaza diganyang. Hancur luluh seluruh Gaza yang hanya berkeluasan 365 kilometer persegi. Sehingga Khamis (29 Februari 2024) seramai 30,035 orang syahid. 70,457 cedera. Angka sebenar barangkali lebih dari itu kerana Gaza adalah antara kawasan paling padat penduduk di dunia. Purata satu km didiami oleh 5,749 manusia.
Belum dicerita kemusnahan rumah kediaman, masjid, sekolah, hospital, klinik dan pelbagai binaan. Hancur segalanya.
Namun yang menghairankan, di manakah 250 tentera Israel dan tawanan lain disembunyikan oleh pejuang-pejuang Palestin. Berdasarkan gambar dan video yang diterbitkan, mereka berada di tempat yang selesa seperti rumah, bukan dalam trowong. Tetapi di mana? Persoalan yang sehingga kini belum terjawab.
Di manakah para mujahidin ‘bersembunyi’. Di manakah pimpinan utama Hamas Gaza yang menjadi wanted nombor ‘wahid’ menyelamatkan diri. Beliau berada di Gaza bersama pejuang-pejuang. Bekas tahanan Israel yang dibebaskan memaklumkan mereka ada bertemu dengan Yahya Sinwar. Berbual mesra dengan dalam Bahasa Ibrani. Tetapi di mana lokasinya?
Ranap segala bangunan, tetapi tentera Israel masih berisiko diserang oleh pejuang Hamas dan Jihad Islami. Hampir setiap hari kereta kebal Mirkava bernilai puluhan juta ringgit setiap satu diletupkan oleh pejuang.
Setiap hari ada sahaja pegawai dan anggota IDF yang berjaya ditembak oleh pejuang. Di mana pejuang-pejuang ini bermarkaz dan mengatur operasi?
Pada hari ke-146 peperangan ini Jumaat baru-baru ini, Al Qassam mengumumkan mereka telah Berjaya membunuh 582 pegawai dan tentera Israel. Sumber tentera Israel mendakwa 3007 orang anggota mereka cedera. Sumber hospital Israel pula menyebut angka yang lebih tinggiiaitu 6791 orang cedera.
Ratusan kereta kebal, trak, jentolak dan pelbagai kenderaan tentera musnah. Pertempuran darat terus berlaku antara pejuang dan pasukan tentera darat.
Terkini pejuang Al Qassam mendakwa berjaya meletupkan dua buah trowong perangkap dan sebuah rumah menyebabkan berlaku kematian dan kecederaan di pihak musuh yang angkanya belum diumumkan.
Menariknya operasi ini berlaku di Hayyu Zaitun, Bandar Gaza hampir ke utara. Sedangkan serangan Israel sudah sampai ke penghujung selatan, iaitu wilayah Rafah. Ertinya serangan mereka sebelum ini gagal untuk sapu bersih pejuang-pejuang di bahagian utara dan tengah.
Mujahidin Al Qassam turut mengumumkan kejayaan mereka di Az Zaitun meletupkan tiga buah trak askar dan sebuah kereta kebal jenis Mirkava menggunakan peluru Al Yasin 105 dan periuk api Syuwaz. Al Yasin 105 ialah senjata anti kereta kebal asal Russia yang diubah suai oleh pejuang Hamas. Ia pernah digunakan secara meluas dalam peperangan di Vietnam dan Afghanistan sekitar tahun 70-an dan 80-an.
Lima orang tentera berjalan kaki berjaya ditembak mati oleh pasukan Al Qassam di lokasi berhampiran.
Keajaiban seterusnya, biarpun hampir keseluruhan kawasan Gaza dikuasai Israel, namun tembakan peluru berpandu ke wilayah di kuasai Israel tetap diteruskan. Termasuklah ke bandar Usdud, Asqalan dank e kawasan Lapangan Terbang Ben Gurion yang terletak lebih kurang 20 kilometer dari Tel Aviv.
Selain itu pertempuran darat antara tentera Israel dan mujahidin masih berterusan di pelbagai lokasi menggunakan senjata ringan dan sederhana.
Sehingga kini serangan Israel gagal membebaskan walau seorang tawanan Israel di tangan mujahidin Palestin. Bahkan Al Qassam memaklumkan mereka telah terputus hubungan dengan pihak perunding dari Israel.
Lalu petang Khamis lalu, Al Qassam menerbitkan video denga tema “Kerajaan kamu sudah tidak berminat untuk membebaskan mereka!”
Lantas satu kenyataan dikeluarkan, “Tunggu pengumuman kami esok, apa nasib mereka!” -HARAKAHDAILY 4/3/2024




















