
NEGARA haram Israel memaklumkan bahawa khatib Masjid Al-Aqsa yang juga merupakan bekas Mufti Baitulmaqdis, Syeikh Dr.Ikrimah Sabri akan didakwa atas tuduhan menghasut keganasan.
Semua ini berpunca daripada tindakan beliau mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terbunuh dalam serangan tentera Zionis.
Mengikut pendakwaan pihak berkuasa Israel, dia akan dibicarakan atas dakwaan hasutan. Pihak berkuasa Israel memutuskan untuk memfailkan pendakwaan ini selepas “kesalahan” yang dilakukan berulang kali.
Sumber Baitulmaqdis melaporkan bahawa pertubuhan Zionis pelampau (LAVI) mengemukakan petisyen kepada pihak pendakwaan bagi menggesa pendakwaan dikenakan terhadap Syeikh Dr.Ikrimah Sabri (85 tahun).
Sebagai respon terhadap petisyen itu, penasihat undang-undang pihak berkuasa penjajah telah menerima pendakwaan Pendakwa Raya. Dengan itu beliau didakwa melakukan jenayah yang berkaitan dengan hasutan kepada keganasan.
Pada bulan September tahun lalu, pertubuhan pelampau yang sama telah mengemukakan petisyen terhadap Penasihat Undang-undang dan Kementerian Kehakiman untuk mengeluarkan perintah pendakwaan terhadap Syeikh Dr.Ikrimah Sabri dan berusaha untuk mengemukakan bukti dan tuduhan yang dapat menyebabkan beliau dilemparkan ke penjara.
Beliau merupakan Khatib Masjid al-Aqsa, Pengerusi Badan Islam Tertinggi di Baitulmaqdis, bekas Mufti Baitulmaqdis dan wilayah Palestin sejak tahun 1996 hingga 2004, beliau berkelulusan Ijazah Sarjana dalam Syariah, Universiti Kebangsaan An-Najah di Nablus (Utara Tebing Barat), dan ijazah Kedoktoran (PhD) dalam Perundangan (Fiqh), Fakulti Syariah dan Undang-undang di Universiti Al-Azhar di Mesir.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beliau telah ditangkap, dipanggil untuk siasatan, tidak dibenarkan memasuki Masjid Al-Aqsa selama beberapa bulan dan ditahan daripada melakukan perjalanan secara berulang kali.
Ini merupakan satu penganiayaan politik dan agama yang jelas dilakukan terhadap seorang tokoh palestin yang dihormati di Baitulmaqdis dan dunia Islam seluruhnya. – HARAKAHDAILY 1/3/2024




















