
KUALA LUMPUR: Perhimpunan Bersih yang berlangsung di hadapan bangunan Parlimen, di sini, pada hari ini, adalah respons daripada janji-janji reformasi yang tidak ditunaikan oleh pihak Kerajaan Madani.
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perhimpunan tersebut adalah signal jelas bahawa semakin banyak kumpulan rakyat yang meluahkan ketidakpuasan hati kepada Kerajaan Madani.
Kata beliau, ini membuktikan bahawa rakyat semakin kecewa dengan pentadbiran kerajaan itu sendiri memandangkan banyak janji yang dilakukan oleh pihak kerajaan masih tidak ditunaikan.
“Bagi saya, ini merupakan satu reaksi segera daripada pelbagai pihak terhadap apa yang kita nyatakan dalam Parlimen Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang mana kerajaan sepatutnya fokus melakukan penambahbaikan sebagaimana yang dijanjikan sebelum ini,” katanya.
Menurut beliau, rakyat yang menjadi hakim dalam menentukan masa depan negara ini kerana mereka sendiri boleh melihat sejauh manakah kualiti sebuah kerajaan dalam mengemudi negara ini.
Tambahnya, ini termasuklah janji-janji yang diberikan oleh kerajaan itu sendiri yang mana perkara tersebut mesti ditunaikan dalam apa pun keadaan.
“Kita boleh lihat kumpulan-kumpulan yang dahulunya menyokong reformasi yang pernah dilaungkan Kerajaan Madani sekarang telah bersama-sama kita dalam menentang kerajaan itu sendiri,
“Ini jelas membuktikan mereka benar-benar kecewa kerana janji-janji yang sepatutnya ditunaikan oleh Kerajaan Madani sebelum ini masih tidak dilaksanakan,” tegasnya.
Beliau berkata, antara penambahbaikan yang dijanjikan oleh Kerajaan Madani adalah mengenai isu royalti minyak di Kelantan dan Terengganu serta peruntukan untuk ahli-ahli Parlimen pembangkang yang mana sehingga kini masih belum ditunaikan oleh pihak kerajaan.
Sehubungan itu, Tuan Ibrahim berharap isu-isu tersebut dapat diselesaikan dengan baik memandangkan Kerajaan Madani sendiri telah berjanji untuk menyelesaikan masalah-masalah tersebut dengan cara yang adil.
“Jadi, saya mengharapkan Kerajaan Madani tunaikan janji-janji yang telah dinyatakan kerana rakyat inginkan kerajaan yang sentiasa menunaikan janji,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/2/2024




















