Tabung Wakaf UniMAP sasar RM1 juta

- Advertisement -

ARAU: Tabung Wakaf Alumni, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang menyasarkan dana terkumpul mencecah RM1 juta dalam tempoh lima tahun dijangka mampu menjadi pemangkin kemajuan kewangan universiti terbabit.

Naib Canselor UniMAP, Prof Dato Ts Dr Zaliman Sauli berkata, tabung berkenaan akan menjadi platform utama penggerak dan penganjur amalan sedekah jariah serta pengimarahan ilmu melalui sumbangan dana wakaf tunai alumni.

- Advertisement -

“Wakaf merupakan salah satu sistem yang mampu menjamin kestabilan kewangan apatah lagi dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu kini.

“Tabung Wakaf Alumni yang diwujudkan itu bukan sahaja pemangkin kemajuan kewangan universiti tetapi sekaligus dapat menyokong agenda kemenjadian mahasiswa,” katanya selepas majlis pelancaran Tabung Wakaf Alumni di Dewan Kecemerlangan, UniMAP, di sini, hari ini.

Menurut Zaliman, UniMAP telah menetapkan sasaran untuk mengumpul dana wakaf tunai sebanyak RM200,000 bagi tahun 2024 dan RM1 juta untuk tempoh lima tahun seterusnya.

Sementara Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UniMAP, Dr Khairul Anwar Abdul Halim pula berkata, pihak alumni turut berbangga kerana Naib Canselor UniMAP sendiri telah berbesar hati menyumbang sebanyak RM5,000, sekaligus menjadi alumni pertama yang menyumbang kepada tabung tersebut.

“Kesudian Dr Zaliman itu akan menjadi motivasi kepada seluruh alumni, keluarga staf, siswa mahupun orang perseorangan untuk turut sama menyumbang ke tabung ini, demi manfaat alumni, universiti, dan seluruh warganya.

“Semoga dengan pelancaran tabung ini secara tidak langsung dapat memperkasakan pendanaan wakaf universiti, tambahan pula kemudahan teknologi terkini dapat memudahkan penyaluran wakaf oleh alumni,” katanya.– HARAKAHDAILY  21/2/2024

- Advertisement -