
KOTA BHARU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelawat, Zameri Mat Nawang bersyukur kerana permohonan pihaknya sejak 15 tahun lalu untuk menaiktaraf jalan dari Kampung Permatang Pasir ke Kampung Be’oh akhirnya tercapai.
Beliau berkata, jalan tersebut masih mempunyai satu laluan sahaja berbanding kemudahan sama yang menghubungkan Kampung Gong Kulim dalam jajahan Pasir Puteh sudah mempunyai dua laluan yang tidak menyukarkan pengguna jalan raya.
Menurutnya, wakil rakyat sebelum ini, Abdul Azziz Kadir turut menyuarakan masalah yang menyukarkan urusan harian kira-kira 10,000 penduduk membabitkan tiga buah kampung iaitu Permatang Pasir, Telaga Ara dan Be’oh.
“Projek pembesaran naiktaraf jalan satu kepada dua laluan, sepanjang kira-kira 19 kilometer ini telah diumumkan kerajaan pada pembentangan Belanjawan 2024 tahun lalu, maka alhamdulillah hasrat kita tercapai.
“Ia bermula daripada Durian Kudung di Pekan Gunung sehingga Kampung Haji Saman di Kampung Be’oh membabitkan peruntukkan sebanyak RM168 juta, satu laluan ini amat menyukarkan penduduk jika ada kenderaan selisih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Ramah Mesra bersama Assabiqat Negeri bersama Hal Ehwal Wanita (Halwa) DUN Jelawat di Darul Niswah Jelawat, di sini, hari ini.

Terdahulu, kerajaan persekutian menerusi Belanjawan 2024 di bawah inisiatif merapatkan jurang desa dan bandar telah mengumumkan projek pembinaan dan menaik taraf jalan-jalan raya di kampung dan desa yang sudah dikenalpasti di sepanjang 550 kilometer seluruh negarai.
Salah satunya ialah menaik taraf jalan Kampung Permatang Pasir sehingga ke Kampung Gong Kulim, selain membina jalan dari Long Boh ke Behor Mempelan, Tambung Tulang di Perlis menelan belanja keseluruhan RM1.63 bilion. – HARAKAHDAILY 21/2/2024




















